Cerita ArtisHiburan

Jaga Dia Buah Tangan Baharu Daniesh Suffian Buat Peminat

Mula dikenali melalui penglibatannya di dalam program Vokal Mania, Nur Mohd Daniesh Mohd Suffian atau nama pentasnya Daniesh Suffian, kini mempertaruhkan single terbaharu berjudul ‘Jaga Dia’ dalam usaha untuk terus memartabatkan dirinya di dalam bidang seni suara tanahair.

Pernah dinobatkan Artis Baru Harapan oleh VOK FM dan antara finalis Artis Baharu Lelaki Popular pada ABPBH ke-33, serta dipilih untuk membuat persembahan pembukaan sempena konsert Andmesh tempoh hari, Daniesh Suffian juga menempa nama sebagai penulis lirik, pelakon dan pempengaruh media sosial.

Buah tangan Daniesh Suffian yang berjudul ‘Jaga Dia’ ini adalah hasil kolaborasi Daniesh Suffian dan Omar K juga mendapat sentuhan Firdaus Rahmat. Meminati genre muzik balada dan jazz, kemerduan suara Daniesh diterjemahkan dengan penuh penghayatan melalui ‘Jaga Dia’ ini.

Lagu yang mengisahkan percintaan pahit manis dengan seseorang akibat dari perpisahan atau jarak yang jauh. Walaupun dia tidak lagi dapat bersama dengan kekasihnya, masih wujud perasaan kasih sayang dan rindu yang mendalam, dan luahan hatinya membentuk satu doa agar Tuhan sentiasa menjaga buah hatinya untuk selama-lamanya.

Susunan melodi yang melengkapi lirik bersifat penuh pengharapan di dalam ‘Jaga Dia’ mempunyai mesej mendalam untuk pendengar yang melalui perkara yang sama.

Mengulas mengenai proses menghasilkan dan merakam single ‘Jaga Dia’, Daniesh berkata, Jaga Dia adalah sebuah lagu yang dihasilkan bersama Omar K dan Firdaus Rahmat dan ia menyampaikan tentang rasa sayang, kasih dan rindu kepada seseorang yang bukan lagi milik kita tetapi kita berharap dan mendoakan agar orang itu sentiasa dalam keadaan yang baik, dilindungiNya walaupun perit kerana cinta yang disulam itu telah tiada.

“Sejujurnya, ini adalah kali pertama saya menulis lirik untuk lagu yang sedih. Selama ini saya banyak menulis dan menyanyikan lagu cinta yang gembira seperti meraikan perkahwinan.

“Justeru itu, saya berasa amat teruja kerana, melalui ‘Jaga Dia’ saya dapat menyelami segala emosi dan perasaan dalam menghasilkan bait-bait lirik yang menggambarkan rasa sedih kerana terputusnya ikatan percintaan antara dua orang,” jelasnya.

Ujarnya lagi, ‘Jaga Dia’ ini bukanlah ‘just another song about a broken heart’ tetapi ia mengajar seseorang erti untuk melangkah pergi dan pada masa yang sama masih boleh mengharapkan yang terbaik untuk orang yang pernah kita cintai itu.

“Jika proses menulis lirik ‘Jaga Dia’ saya berasa teruja, sebaliknya pula ketika penggambaran muzik video, saya berasa gementar dan risau kerana khuatir yang saya tidak dapat menzahirkan lirik dengan sempurna dan apa yang saya tonjolkan tidak sampai ke sanubari penonton muzik video ini nanti.

“Namun kerisauan itu berjaya saya tangkis dengan bantuan Adam Shamil yang juga artis di bawah naungan World Peace Entertainment juga merangkap pengarah muzik video ‘Jaga Dia’. Adam dan pasukannya banyak membantu memastikan agar emosi yang kita inginkan untuk muzik video ini digambarkan dengan sempurna.

“Harapan saya agar single ini mendapat penerimaan yang baik buat semua. Saya turut mengucapakan jutaan terima kasih kepada semua followers serta peminat yang tidak pernah jemu menjadi penyokong setia saya dari awal kemuculan saya. Semoga ‘Jaga Dia’ menjadi siulan ramai serta menjadi penguat kepada hati yang terluka ataupun dilukai oleh perpisahan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, World Peace Entertainment (WPE) Muhammad Usaid Hamdi berkata, pihak WPE sentiasa komited dalam menyokong pembangunan bakat-bakat seni tempatan terutamanya artis-artis yang mereka naungi.

“Kami memberi kebebasan kreatif kepada Daniesh Suffian untuk menghasilkan ‘Jaga Dia’ dan Alhamdulillah, kami amat berpuas hati dengan hasil beliau.

“Perancangan rapi turut diatur bagi memastikan lagu ‘Jaga Dia’ dan muzik videonya dapat diterima peminat dan mendapat tempat di hati generasi masa kini,” ujarnya.

Single ‘Jaga Dia’ serta muzik video ini diterbitkan sepenuhnya oleh World Peace Entertainment. ‘Jaga Dia’ akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan, laman YouTube serta laman sosial media – Instagram, TikTok bermula 30 Jun 2023. Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox, Apple Music dan lain-lain. Layari saluran Youtube World Peace Entertainment untuk maklumat lanjut. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button