EventHiburan

Penganjuran BOTB Jadi Ruang Cungkil Bakat Baharu, Cari Bakat Berkualiti Dalam Industri Seni

Dalam usaha untuk mencungkil bakat seni dalam kalangan anak muda, sebuah festival muzik Battle of The Band (BOTB) dianjurkan dan bakal menjadi fenomena kepada anak muda dengan konsep baharu yang bakal ditampilkan.

Pengarah MASH Entertainment Sdn. Bhd., Dr. Murad Hilmi Mohamed berkata, matlamat pertandingan itu bertujuan dapat memberi impak besar kepada industri muzik tanah air.

“Kita juga mahu beritahu bakat baharu yang mereka mampu kekal relevan dalam industri muzik seperti kumpulan yang pernah menyertai BOTB dahulu.

“Ini juga memberi peluang dan pendedahan kepada penggiat muzik untuk berkarya di peringkat asia, serta mempromosikan kepelbagaian konsep muzik kepada masyarakat di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam sidang akhbar, baru-baru ini.

Selaku penganjur, katanya, pihaknya mahu mencari bakat berkualiti dalam industri seni dan bukan tenggelam selepas menghasilkan satu single sahaja.

Dalam pada itu, Dr. Murad berkata, pusingan saringan hingga akhir akan diadakan di Johor Bahru bermula 7 September depan, kerana lokasi tersebut sinonim dengan BOTB sejak dianjurkan pada 1974.

“Saringan akan diadakan pada 7 hingga 10 September depan, kemudian 15 peserta terbaik akan dipilih ke peringkat separuh akhir pada 23 September. Peserta akan diberi peluang menyampaikan persembahan dengan lagu cover dan lagu cabaran.

“Contohnya lagu Damasutra dalam genre rock balada, kita akan cabar peserta menyampaikan dalam rentak reggae dan bagaimana mereka menyusun semula muzik tersebut mengikut kreativiti,” katanya.

Pusingan akhir BOTB akan berlangsung pada 28 Oktober depan di Plaza Angsana, Johor Bahru, dengan hanya 10 kumpulan terbaik dipilih.

Dr. Murad Hilmi berkata, peserta dikehendaki menyampaikan lagu ciptaan sendiri walaupun belum mempunyai single di pasaran.

“Kita juga bercadang untuk menganjurkan pertandingan bagi musim kedua dan ketiga sekiranya mendapat sambutan hangat daripada peserta,” jelasnya.

BOTB telah terbukti melahirkan ramai bakat hebat serta mampu bertahan lama dalam industri seni antaranya seperti kumpulan Damasutra yang lahir daripada pertandingan itu.

BOTB menawarkan hadiah RM10,000 beserta trofi dan single bagi pemenang pertama, serta RM5,000 dan RM3,000 bagi tempat kedua dan ketiga. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button