FilemTerkini

Abang Adik Cipta Kejayaan Di Taiwan, Raih Kutipan RM6.5 Juta

Filem Cina tempatan arahan Jin Ong berjudul Abang Adik mencipta kejayaan tersendiri apabila meraih kutipan sebanyak RM6.5 juta (NT$40 milion) sewaktu ditayangkan di Taiwan baru-baru ini.

Jin Ong berkata, khabar gembira berkenaan dimaklumkan sendiri oleh pihak tayangan filem di negara berkenaan yang terlebih dahulu menayangkan filem tersebut terlebih dahulu.

“Apabila dimaklumkan mengenainya, saya menangis kegembiraan dengan sambutan yang diterima. Malah, pada tiga hari pertama tayangan filem ini pun kami sudah berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.2 juta.

“Saya dimaklumkan juga bahawa semua filem Malaysia yang pernah ditayangkan di Taiwan tidak mampu memgatasi rekod berkenaan,” ujar pengarah kelahiran Taiping, Perak itu.

Sementara itu, ditanya mengenai harapannya menjelang filem itu yang akan ditayangkan di Malaysia pada 14 Disember, Jin menyatakan keyakinan bahawa filem arahannya itu akan turut mendapat sambutan baik.

Ujarnya, dia percaya filem berkenaan akan mendapat maklum balas yang positif, terutama sekali penonton berbangsa Cina.

“Apabila filem ini ditayangkan di Lembaga Penafisan Filem (LPF), ramai kenalan yang berada di situ memberi komen yang baik.

“Jadi, ia lebih memberi keterujaan kepada saya apabila filem ini ditayangkan di negara sendiri dan berharap ia memberi impak kepada penonton,” ujarnya.

Filem Abang Adik merupakan terbitan More Entertainment Sdn Bhd bersama New Century Southward Development Co LtD dan edaran mm2 Entertainment.

Ia menceritakan kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren. Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Lebih istimewa lagi, Kang Ren juga dinobatkan pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu pada November lalu.

Selain itu, filem Abang Adik juga mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Filem itu turut berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk kategori Filem Cereka Terbaik. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button