Cerita ArtisHiburan

Konsert Siti Nurhaliza Tetap Diteruskan Pada 9 Mac, Yayasan Nurjiwa Lapang Dada Terima Gesaan & Teguran Mufti

Konsert solo Datuk Seri Siti Nurhaliza, ‘Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ akan tetap diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu pada 9 Mac ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Nurjiwa, pihaknya dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Mufti Pulau Pinang untuk menunda konsert berkenaan.

“Sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh Pengurusan Perbadanan Stadium Nasional, kami di Yayasan Nurjiwa dan pihak Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac menghampiri 1 Ramadan.

“Kami di Yayasan Nurjiwa juga telah diberitahu oleh Pengurusan Perbadanan Stadium bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami,” ujarnya.

Menerusi kenyataan itu juga, pihaknya sudah mula membuat tempahan dengan pihak perbadanan stadium sejak awal tahun 2023, namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat dilaksanakan dan memohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu.

Jelasnya, memahami matlamat dan objektif utama penganjuran konsert membuatkan pihaknya mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskannya.

“Izinkan kami untuk sekali lagi menjelaskan konsert ini bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan. Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan yang ditubuhkan sejak tahun 2006.

“Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza telah sering menyebut tujuan konsert ini adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja seperti kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin,” jelasnya.

Menurutnya lagi, segala hasil kutipan tiket daripada pementasan konsert tersebut akan disalurkan ke lima-lima kluster berkenaan.

Ujarnya, bertitik tolak daripada matlamat itu juga, Yayasan Nurjiwa terfikir ada baiknya pementasan konsert itu diteruskan.

“Jika mahu diawalkan pula, sudah tentu tiada keupayaan memandangkan tiada slot kosong yang boleh diberikan perbadanan stadium kepada kami.

“Kalau saya buat 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau buat 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai untuk konsert itu,” ujarnya.

Pada masa sama, Yayasan Nurjiwa memaklumkan penundaan konsert tersebut akan memberikan implikasi yang besar pada banyak pihak, khususnya di pihak produksi serta pengurusan perbadanan stadium.

“Apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenalpasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.

“Kita tidak mampu untuk Wmenunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin,” jelasnya.

Dengan kenyataan yang dibuat, Yayasan Nurjiwa berharap agar ia dapat menjawab segala persoalan dan kegusaran semua pihak. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button