Cerita ArtisHiburan

Real XPDC Sekadar Tribute Band, Perlu Minta Kebenaran Life Records Guna Nama ‘XPDC’

Ketika ini dunia hiburan muzik terus digemparkan dengan kewujudan sebuah band yang dikenali sebagai Real XPDC sehingga menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak.

Pemain bass XPDC Militia, Eddie memaklumkan kewujudan Real XPDC adalah sebagai tribute band meminta kumpulan berkenaan menukar nama lain untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Saya melihat mereka (Real XPDC) ini lebih sukakan kontroversi semata-mata nak naikkan nama. Disebabkan itu mereka sendiri tidak kisah dihentam dan dikecam di media sosial.

“Pada saya mereka boleh hentikan semua isu yang timbul membabitkan soal nama. Tak perlu pun nak cari publisiti dengan cara sebegini memandangkan mereka juga sekadar ‘tribute band’,” tegasnya.

Dia berkata demikian bersama rakan-rakan sewaktu ditemui ketika sidang media Loop Music Festival yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, Eddy Badry tampil mempertahankan bahawa dia adalah pengasas sebenar XPDC dan Real XPDC serta mendakwa dia orang yang bertanggungjawab mencungkil bakat arwah Mael.

Malah, Eddy yang masih kekal dengan pendirian untuk menggunakan nama Real XPDC ini terus mendapat kecaman beberapa beberapa pihak.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota XPDC Militia iaitu Lola turut menegaskan bahawa jika nama ‘XPDC’ mahu digunakan juga perlulah mendapat kebenaran daripada syarikat rakaman Life Records yang memegang hak cipta nama berkenaan.

Lola berkata, setakat ini XPDC Militia merupakan band yang telah diberi kebenaran untuk menggunakan nama ‘XPDC’ oleh syarikat rakaman berkenaan.

“Kalau nak guna juga mereka kena minta kebenaran syarikat rakaman terlebih dahulu. Macam kenyataan dikeluarkan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernendez sebelum ini.

“Misalnya band The Iron Maidens yang memainkan semula lagu-lagu kumpulan Iron Maiden perlu minta kebenaran secara langsung dari band asal untuk menggunakan nama itu. Itu adalah undang-undang yang diamalkan di seluruh dunia, jadi kenalah ikut,” jelasnya.

Ketika ini hanya ada dua band sahaja dibenarkan menggunakan nama ‘ XPDC’ iaitu XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia atas keizinan Life Records.

XPDC Militia menampilkan anggota asal, Izo (gitar) dan Ali yang pernah bersama mereka menerusi album Samurai pada 1998 sebagai vokalis. Anggota baharu ialah Eddie dan Lola. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button