Rancangan TVTV

Kandungan Terbaik Sarawak Kini Boleh Ditonton Di Platform OTT VIU

Viu, sebuah platform OTT terkemuka di rantau ini, telah memperoleh 42 judul daripada TVS (TV Sarawak), menjadikan kandungan Sarawak tersedia secara kolektif buat pertama kalinya untuk pelanggan Viu. Dengan perjanjian yang direalisasikan oleh MyContent Distribution (MCD) ini, program- program pilihan dari Sarawak kini dapat dinikmati oleh lebih ramai penonton.

MCD memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan perjanjian ini, membuka peluang untuk pendedahan yang lebih luas. Perolehan ini juga membuka jalan bagi penciptaan kategori khas Sarawak di platform tersebut, membolehkan penonton menikmati warisan budaya dan seni Sarawak.

Lyn Nasihin, Pengarah Urusan MyContent Distribution, berkata, “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Viu dan TVS untuk mempersembahkan kisah-kisah hebat dari Sarawak.

Kepelbagaian kandungan unik yang kini terdapat di Viu menonjolkan bakat dan kreativiti luar biasa dari rantau ini, dan kami teruja melihat program-program ini menerima pengiktirafan yang sewajarnya. Kerjasama ini menetapkan penanda aras baharu dalam pengedaran kandungan serantau.”

Usaha ini menawarkan pelbagai program, termasuk dokumentari yang memenangi anugerah seperti Guardians of the Shore serta siri tempatan popular seperti Ram Ram Rep dan sitkom dalam bahasa Iban, Tembawai Kanyuk. Kisah-kisah menarik ini kini boleh dinikmati oleh penonton yang tidak berkesempatan menontonnya sebelum ini.

Salah satu tajuk utama, Guardians of the Shore, arahan Mark Nyambang, mengetengahkan usaha perintis Sarawak dalam pemuliharaan marin, terutamanya pembinaan penghalang terumbu tiruan terpanjang di dunia.

Dokumentari ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, menerima Anugerah Gangsa di ContentAsia Awards 2024 dan Anugerah Khas Merit di Kuala Lumpur International Eco Film Festival 2023.

Satu lagi siri kegemaran penonton, Ram Ram Rep, arahan Josh Nawan, adalah drama psikologi yang penuh dengan jalan cerita mendalam dan persembahan mantap.

Begitu juga, Tembawai Kanyuk, sitkom pertama dalam bahasa Iban, telah menarik perhatian ramai dengan pandangan lucu tentang kehidupan di rumah panjang Sarawak, menekankan kepentingan perpaduan dalam kepelbagaian.

Tuan Haji Kushairi Abang, Ketua Pegawai Eksekutif TVS dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Media Sarawak Sdn. Bhd, berkata, “Kerjasama dengan Viu ini adalah detik penting bagi industri kreatif Sarawak.

Buat pertama kali, rancangan tempatan kini duduk sebaris dengan kandungan terbaik yang ada, memberikan penonton perspektif baru tentang suara dan budaya yang pelbagai dari rantau ini.

Ini adalah peluang unik untuk membuat penonton merasa lebih dekat dan terhubung dengan kisah dan budaya Sarawak.”

Perjanjian pelesenan ini adalah untuk tempoh satu tahun, dan penonton boleh menonton rancangan kegemaran mereka dari TVS di bawah kategori “Khas Dari Sarawak Bumi Kenyalang” di Viu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button