EventHiburan

Anuar Zain Kongsi Pentas Dengan 2 ‘Bunga’ Dari Indonesia

Setelah sekian lama menyepikan diri daripada mengadakan sebarang konsert, Anuar Zain kini kembali dengan konsert berskala besar bersama dua bintang terkenal dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma.

Konsert yang diberi judul BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live In Concert itu akan diadakan di pentas berprestij di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 April ini.  Konsert ini dianjurkan Kharisma Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama DTA Fashion Art Performance Sdn Bhd.

Selaku penganjur konsert, Yuka berkata konsert ini membawa satu pengertian yang cukup bermakna buat dirinya memandangkan diberi kesempatan untuk berkongsi pentas dengan nama besar seperti Anuar dan Bunga.

“Selain menjadi platform untuk syarikat saya bergerak sebagai sebuah penganjur acara, konsert kali ini menemukan saya dengan dua nama yang cukup gah di negara masing-masing. Pastinya sebuah kegembiraan dan kesyukuran buat saya apabila mereka bersetuju untuk berada satu pentas bersama saya nanti,” katanya memetik kenyataan media.

Konsert yang bakal berlangsung dalam durasi dua setengah jam itu akan memperlihatkan kehebatan persembahan Bunga yang membawakan kumpulan pemuziknya terdiri daripada enam orang manakala Anuar dan Yuka akan diiringi lapan pemuzik tempatan dan tiga penyanyi latar selain Sze Wan dilantik menjadi pengarah muzik untuk konsert terbabit.

Tiket-tiket yang sudah mula terjual mulai semalam boleh didapati dari harga RM188 (regular), RM288 (bronze), RM388 (silver), RM488 (gold), RM588 (diamond), RM1599 (platinum) dan RM2199 (intimate) di www.yuka.com.my atau www.tickethotline.com.my.

Selain berpeluang bertentang mata dengan penyanyi pujaan, peminat juga berpeluang memenangi iPhone 8 dan sebuah skuter menerusi sesi cabutan bertuah yang akan berlangsung pada malam konsert tersebut.

Untuk pembeli tiket kategori Intimate, mereka bakal menerima jemputan ke pra parti, barangan eksklusif konsert, peluang bergambar bersama artis serta laluan VIP. Manakala pembeli tiket Platinum pula akan menerima jemputan ke pra parti, barangan eksklusif konsert dan laluan VIP. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button