
Pot Innuendo Tampil Beri Keterangan Berhubung Laporan Polis Farid
Bekas ahli kumpulan Innuendo, Saiful Amir Abdul Wahab atau Pot hari ini tampil memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.
Penyanyi itu dilihat hadir bersama peguamnya, Mohamed Ashmeer Ashroff Raja pada jam 10.30 pagi dan selesai memberikan keterangan pukul 1.00 petang tadi.
Menurut Ashmeer, Pot hadir bagi membantu siasatan biarpun namanya tidak disebut menerusi laporan polis yang dibuat Farid.
“Pot hadir hari ini bagi memberi keterangan serta membantu siasatan polis walaupun nama Pot tidak disebut dalam laporan polis (yang dibuat Farid),” katanya kepada KopiPlanet.com.
Sebelum iu, tiga nama rakan pelakon yang dipercayai disebut dalam laporan polis itu ialah Sofi Jikan, Osh dan Taj.
Farid sebelum ini membuat laporan polis mendakwa tiga rakannya itu memasukkan dadah ke dalam minumannya selepas insiden dia menampar anggota polis dan orang awam pada 11 Januari lalu.
Suami kepada Diana Danielle itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dengan lima pertuduhan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah jenis ganja dan kesnya akan disebut semula pada 5 Mac ini.
Sementara kes penyalahgunaan dadah melibatkan Sofi pula akan disebut pada 14 Mac ini.
Terdahulu, Sofi tampil memberikan keterangan di balai polis yang sama pada 6 Februari lalu sebelum dia disahkan positif dadah selepas melalui ujian saringan air kencing. – KopiPlanet.com