Konsert My Chemical Romance (MCR) Live in Kuala Lumpur yang berlangsung meriah selama dua hari bukan sahaja menjadi antara topik hangat di media sosial, malah mencipta sejarah apabila membawa kembali kumpulan rock alternatif Amerika Syarikat ke Malaysia selepas 19 tahun.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan menghimpunkan lebih 120,000 penonton, penganjur, Hello Universe, mengakui perjalanan membawa kumpulan ikonik itu ke Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah.
Perkara itu dikongsikan pengasas Hello Universe, Adam Ashraf, menerusi hantaran di aplikasi Threads yang menggambarkan pengorbanan ditempuhnya di sebalik penganjuran konsert berkenaan.
“Ada pengorbanan yang orang tak lihat. Ada luka yang masih tersimpan.
“Terima kasih semua,” tulisnya.
Menerusi hantaran itu, Adam turut berkongsi sekeping gambar suasana konsert yang memperlihatkan lautan penonton memenuhi TM Stadium Nasional.
Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi peminat yang rata-ratanya menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana merealisasikan impian mereka menyaksikan MCR beraksi di Malaysia.
“Terima kasih Adam sebab bawa MCR datang sini. Kami menangis malam tadi, tak sangka mereka akhirnya berada di depan mata,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi peminat turut menyifatkan kejayaan penganjuran konsert itu sebagai bukti kemampuan Hello Universe membawa artis bertaraf antarabangsa ke Malaysia.
“Terima kasih! Selepas MCR, ramai nampak abang boleh bawa dan kendalikan artis nama besar. Apalagi, bawa Avril Lavigne selepas ini,” katanya.
Tidak kurang juga peminat yang mengakui mereka tidak mengetahui cabaran di sebalik tabir, namun tetap menghargai usaha penganjur membawa kumpulan itu ke Malaysia.
“Saya tak tahu apa yang berlaku di belakang tabir, tapi saya tak kisah. Apa yang pasti, MCR ada di Malaysia disebabkan kamu. Terima kasih kepada penganjur daripada saya dan diri saya yang masih kecil,” tulis seorang lagi peminat.

Menerusi konsert hampir tiga jam itu, MCR yang dianggotai Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero tampil dengan persembahan penuh bertenaga, diserikan konsep teatrikal yang menjadi antara keistimewaan kumpulan berkenaan.
Terdahulu, penganjuran konsert itu turut menjadi perhatian apabila timbul spekulasi mengenai kemungkinan ia dibatalkan susulan penundaan tarikh persembahan, selain khabar angin mendakwa jualan tiket kurang memberangsangkan.
Bagaimanapun, pihak penganjur menepis dakwaan berkenaan dengan meneruskan perancangan konsert, malah membuka jualan tiket tambahan bagi zon Tier 3. – KopiPlanet.com




