Khadam mencipta kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya.
Dengan kemenangan tersebut, Komet Productions Sdn. Bhd. dan Red Communications Sdn. Bhd.menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta, selain wang tunai RM5,000 dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil.
Pemberian DKK RM1 juta kepada pemenang Filem Terbaik merupakan manifestasi komitmen Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam memastikan kesinambungan penghasilan karya kreatif tempatan.
Inisiatif ini turut bertujuan memperkukuh keupayaan penerbitan serta menggalakkan penghasilan kandungan filem yang berkualiti, inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Tiga anugerah utama lain turut menjadi tumpuan pada malam kemuncak FFM35. Anugerah Pengarah Terbaik dimenangi oleh Shamyl Othman menerusi filem Khadam manakala Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menjadi milik Shaheizy Sam menerusi filem Badak. Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pula dimenangi oleh Aida Amron menerusi filem Badak.
Buat julung kalinya, Anugerah Khas Sepanjang Zaman diberikan kepada dua figura tersohor industri perfileman tanah air, iaitu Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud (Ogy), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta legasi mereka dalam industri seni dan perfileman negara.
Sementara itu, Panchacharam P. Nalliah (Pansha) menerima Anugerah Khas Karyawan atas sumbangan beliau kepada industri perfileman tempatan.
Mengangkat tema “Spektrum Sinema”, Malam Anugerah FFM35 disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku rakan penyiar rasmi.
Tema ini meraikan kepelbagaian genre, budaya, bahasa, perspektif, teknologi dan generasi pembikin filem yang bersama-sama membentuk landskap sinema Malaysia.
FFM35 turut menjadi platform untuk menghimpunkan penggiat industri seni dan perfileman daripada pelbagai generasi, termasuk penerbit, pengarah, pelakon, tokoh seni veteran serta tenaga kreatif di belakang tabir yang telah memainkan peranan penting dalam memajukan industri perfileman negara.
Penganjuran Malam Anugerah FFM35 turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya Istana Budaya dipilih sebagai lokasi utama penganjuran Festival Filem Malaysia.
Pemilihan Panggung Sari sebagai pentas acara kemuncak ini memperlihatkan pengiktirafan terhadap peranan institusi seni dan budaya negara dalam mengangkat martabat industri kreatif tanah air.
Penganjuran FFM35 turut mendapat sokongan sektor korporat dan pemain industri kreatif menerusi kerjasama strategik dengan HONOR Magic9 Pro Max selaku rakan rasmi telefon pintar pengimejan sinematik, CAT, ZEEKR serta beberapa syarikat produksi tempatan yang turut menyumbang kepada kejayaan festival berprestij ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac; dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib. – KopiPlanet.com
Senarai Pemenang FFM35
Poster Terbaik – Blues
Kesan Khas Visual Terbaik – Malam Terlarang
Tatarias Solekan Terbaik – Khadam
Rekaan Kostum Busana Terbaik – Gayong 2
Filem Pendek Terbaik – Salted Fish Ikan Masin
Dokumentari Terbaik – Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin
Lagu Tema Terbaik – Tak Berlagu (Khadam)
Penataan Bunyi Terbaik – Khadam
Skor Muzik Asal Terbaik – Khadam
Penataan Seni Terbaik – Mother Bhumi
Sinematografi Terbaik – Khadam
Penyunting Terbaik – The Waves Will Carry Us
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik – Jordan Kwan (The Waves Will Carry Us)
Aksi Lagak Ngeri Terbaik – Tarung Unforgiven
Anugerah Khas Juri 1 – Aghniny Haque
Anugerah Khas Juri 2 – Badak
Anugerah Khas Karyawan – Panchacharam (Pansha)
Anugerah Khas Sepanjang Zaman – Seniman Ahmad Yatim
Anugerah Khas Sepanjang Zaman – Seniwati Fauziah Ahmad Daud
Pelakon Wanita Harapan – Aila Azizul (Malam Terlarang
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Ezzara Nurzaffira (Khadam)
Pelakon Wanita Terbaik – Aida Amron (Badak)
Pelakon Lelaki Harapan – Mierul Aiman (Tarung Unforgiven)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Kuben Mahadevan (Macai)
Pelakon Lelaki Terbaik – Shaheizy Sam (Badak)
Lakon Layar Terbaik – Khadam
Cerita Asal Terbaik – Macai
Pengarah Harapan – Ezrie Ghazali (Abah Saya Uncle Mike)
Pengarah Terbaik – Shamyl Otman (Khadam)
Filem Terbaik – Khadam




