Selepas hampir sembilan tahun tersimpan, penyanyi Haiza akhirnya bersedia memperkenalkan single terbaharunya berjudul Pencuri yang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.
Menariknya, lagu itu sebenarnya sudah dirakam sejak 2017 selepas Haiza menamatkan program Duo Star terbitan Astro bersama penyanyi dan komposer, Aepul Roza.
Haiza berkata, lagu berkenaan dihasilkan selepas dia meminta Aepul mencipta sebuah lagu baharu ketika mereka bekerjasama dalam program terbabit.
Menurutnya, Pencuri mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menawarkan muzik lebih ringan dan santai berbanding lagu-lagu yang pernah dirakamkannya sebelum ini.
Bagaimanapun, perancangan untuk melancarkan lagu itu tertangguh berikutan komitmen terhadap pelbagai projek lain, sebelum pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada perancangan berkenaan.
Selepas menyusun semula perancangan pada 2023, Haiza akhirnya melihat 2026 sebagai waktu sesuai untuk memperkenalkan karya berkenaan kepada pendengar.
“Pada asalnya lagu ini tidak mempunyai tajuk. Selepas mendengarnya berkali-kali, saya merasakan Pencuri paling sesuai.
“Saya mahu tampil dengan naskhah lebih santai, tidak tergesa-gesa dan tidak membuatkan pendengar penat ketika menghayatinya,” katanya calon Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-38.
Mengulas proses rakaman, Haiza berkata, semuanya berjalan lancar apabila lagu itu berjaya disiapkan dalam tempoh kurang tiga jam.
Namun, dia mengakui perlu lebih berhati-hati kerana sudah terbiasa menyanyikan lagu rancak.
Katanya, Aepul turut menitikberatkan sebutan setiap perkataan supaya penyampaian lagu benar-benar tepat.
“Contohnya, perkataan ‘saat’ dalam lirik ‘Saat demi saat berlalu’. Aepul menegur sebutan saya supaya jelas dan tidak kedengaran seperti perkataan lain. Walaupun kedengaran hampir sama, sebutannya tetap berbeza,” katanya.

Dari segi muzik, Pencuri mengetengahkan konsep pop-elektronik dengan sentuhan dangdut moden atau hipdut.
Komposer lagu itu pula berkata, karya berkenaan menggabungkan bunyian pop moden dengan elemen dangdut bagi menghasilkan muzik yang segar dan mudah melekat di ingatan.
Liriknya pula berkisar mengenai seorang wanita yang jatuh cinta pandang pertama sehingga perasaannya menjadi tidak keruan apabila hatinya dicuri.
Proses penulisan lagu mengambil masa tujuh hari dengan tiga draf melodi berbeza dihasilkan. Ia kemudian melalui proses praproduksi selama tiga hari, manakala rakaman akhir mengambil masa lima hari untuk disiapkan.
Menurut Aepul pula, cabaran utama adalah mengimbangi elemen muzik moden dengan melodi yang dekat dengan selera pendengar muzik Melayu.
Lebih menarik, lagu itu sebenarnya dianggap mendahului trend muzik ketika mula dirakamkan pada 2017.
Katanya, ketika itu genre berkenaan masih belum begitu mendapat perhatian, sekali gus menjadikan Pencuri sebagai satu eksperimen muzik yang berani.
Namun, perubahan trend muzik sepanjang tempoh tersebut membuatkan lagu berkenaan dirasakan lebih sesuai dengan cita rasa pendengar pada 2026.
Pencuri juga menjadi antara percubaan awal Aepul dalam memperlihatkan versatiliti dirinya sebagai pencipta lagu pada 2017.
Selain lagu, muzik video Pencuri turut menjanjikan kesinambungan cerita menerusi kemunculan pelakon Ropie sebagai hero.
Haiza berkata, Ropie dipilih kerana sudah lama mengenalinya selain menyifatkan pelakon itu sangat komited dan menepati masa sepanjang penggambaran.
Menariknya, muzik video Pencuri membawa penonton kembali kepada kisah awal perkenalan mereka sebelum kejadian yang dipaparkan dalam muzik video Young & Gentleman.
“Konsepnya ialah ‘Siapa Dia Sebelum Dia’. Pencuri menjadi episod pertama yang menceritakan bagaimana semuanya bermula,” kata penyampai radio Kool FM itu lagi.
Haiza berharap lagu itu mendapat sambutan baik dan mampu dinikmati peminat daripada pelbagai lapisan usia.
Peminat boleh mula menstrim Pencuri menerusi platform digital, manakala muzik videonya dilancarkan pada 20 November, jam 3 petang menerusi YouTube Indigital Music. – KopiPlanet.com




