Setelah mendapat kecaman ramai gara-gara gurauan mengenai penyanyi Aina Abdul, akhirnya Datuk Afdlin Shauki tampil memberikan kenyataan.
Dalam perkongsiannya di akaun @Thread, Afdlin mengakui dirinya adalam peminat Aina Abdul dan menyatakan penyanyi berkenaan antara yang paling berani bereksperimen.
“Selalunya abang tak explain joke yang abang buat. Tapi kali ni abang nak jelaskan sendiri apa yang abang maksudkan masa FFM35. Abang memang peminat Aina Abdul. Abang ikuti perjalanan Aina dari jauh, tengok macam mana dia bina nama dan lalui macam-macam untuk sampai ke tahap sekarang.
“Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen. Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul’. Itu namanya branding yang menjadi,” jelasnya.
Ujar Afdlin lagi, sebagai hos juga dia suka menyelitkan gurauan tentang rakan-rakan seni yang dia kagumi.
“Masa mengacara Anugerah Industri Muzik dulu pun abang pernah bergurau tentang Zee Avi, Sheila Majid, arwah Adibah Noor, Jaclyn Victor dan ramai lagi. Oh ya, mungkin ada yang tak tahu, abang pun pemuzik dan penyanyi. Pelawak sendu ni ada range juga,” ujarnya.
Berkenaan dengan isu body shaming pula, Afdlin menjelaskan bahawa punchline yang dibuatnya malam itu adalah tentang saiz busana dan apa jadi pada pandangan kamera kalau busana segah itu ada di barisan depan.
“Abang sendiri dah lama menerima komen tentang tubuh badan, jadi abang tahu macam mana rasanya bila badan kita dijadikan bahan lawak. Abang sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal. Keberanian dia itulah yang abang nak tonjolkan.
“Aina, kalau cara abang bergurau malam tu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina. Abang memang big fan, dan insya-Allah kalau ada rezeki, abang teringin sangat nak bekerja dengan Aina suatu hari nanti,” jelasnya.
Ujarnya, cara orang menerima gurauan sudah banyak berubah sejak zaman dia mula mengacara dan dia menerima dengan terbuka kepada orang yang menegurnya.
“Sekarang, beberapa saat dari satu malam boleh beredar sendiri dan orang dengar dengan macam-macam tafsiran. Sebab itu abang rasa elok abang beri konteks sendiri.
“Kepada yang menegur, abang dengar. Kepada yang dah lama tak berkenan dengan abang, abang doakan yang baik-baik juga,” ujarnya. – KopiPlanet.com




