Bukan sekadar menghiburkan, penggiat seni juga mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai integriti.
Atas kesedaran itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berganding bahu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026: Industri Kreatif pada 29 November ini.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, program berkenaan merupakan inisiatif untuk mendekatkan mesej antirasuah dengan warga industri kreatif menerusi pendekatan lebih santai dan mesra.
Menurutnya, kerjasama itu tercetus apabila SPRM mahu memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan membanteras rasuah sempena sambutan HARA 2026, khususnya dalam kalangan penggiat seni.
“Kita mahu penggiat seni memahami bahawa isu integriti ini dekat dengan kehidupan dan kerjaya mereka.
“Sebab itu, pendekatan lebih santai dan mesra dipilih supaya mesej antirasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Mengulas peranan anak seni dalam membanteras rasuah, Zed berkata, setiap penggiat seni perlu menjadikan integriti sebagai prinsip utama dalam kerjaya masing-masing.
Katanya, pengaruh yang dimiliki golongan selebriti dan penggiat seni juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan nilai positif kepada masyarakat.
“Ahli SENIMAN mempunyai peranan penting, bukan sahaja sebagai penggiat seni tetapi juga individu yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat. Setiap ahli perlu mengamalkan integriti dalam urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.
“Kita perlu berani menolak rasuah dan tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang salah. Seni bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyampaikan nilai dan membentuk masyarakat,” katanya.

Justeru, Zed berharap ahli SENIMAN tidak melepaskan peluang menyertai program berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan mengenai hak dan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata, pendedahan itu penting supaya penggiat seni lebih bersedia melindungi diri daripada eksploitasi, penyalahgunaan kuasa dan amalan tidak berintegriti. Kita mahu membina industri seni yang lebih profesional, telus dan dipercayai.
“Paling penting, generasi penggiat seni akan datang dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih baik. Bukan sekadar taklimat, program sehari itu turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik buat
pengunjung,” ujarnya.
Antara pengisian yang disediakan ialah taklimat khas SPRM, bengkel TikTok percuma serta pertandingan video pendek Public
Service Announcement (PSA) yang menawarkan hadiah menarik. Turut memeriahkan program ialah pameran daripada persatuan dan rakan industri, selain persembahan artis.
Program yang menyasarkan penyertaan pemain industri kreatif, warga FINAS dan pelajar itu akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang, Selangor.
Zed berharap program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga seni kerana usaha membanteras rasuah memerlukan komitmen semua pihak.
Jelasnya, sudah tiba masanya industri kreatif bergerak lebih jauh bukan sahaja dari segi pencapaian seni, malah dalam membina budaya kerja yang telus. – KopiPlanet.com




