Membilang hari menanti tanggal 29 November, kumpulan nasyid kontemporari, Rabbani teruja untuk beraksi Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani sempena sambutan 40 tahun perjalanan seni Nada Murni.
Bagi ketua kumpulan itu, Azadan Abdul Aziz, acara istimewa yang mengimbau kegemilangan era Nada Murni selaku gelanggang buat penggiat nasyid memperjuangkan genre itu sekitar empat dekad lalu sangat nostalgik.
Katanya, usaha mengetengahkan deretan seleksi dendangan malar segar ketika bersama kumpulan itu tidak akan jadi kenyataan tanpa sokongan pelbagai pihak terutama rakan kolaborasi mereka, Emas Sri Semantan.
“Sokongan penaja utama menjadi antara tunjang penting dalam memastikan kelangsungan seni nasyid tanah air apabila tampil berganding bahu menjayakan majlis makan malam ini.
“Menerusi kerjasama Rabbani Empire Resources dengan Emas Sri Semantan selaku penaja utama, Rabbani sangat berbesar hati apabila dapat merealisasikan persembahan istimewa ini.
“Sokongan rakan kolaborasi ini secara simbolik sebagai kepercayaan jitu jenama besar terhadap kemampuan genre nasyid di arus muzik perdana,” katanya.
Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani dijadualkan berlangsung di Rabbani Event Hall, Scott Garden, Jalan Klang Lama pada pukul 8.30 malam.
Menurut Azadan lagi, kerjasama itu bukan sekadar menyokong penganjuran sebuah acara hiburan, sebaliknya memperlihatkan peranan penting sektor korporat dalam membantu mengangkat karya, bakat dan legasi penggiat seni nasyid tempatan.
Tambah Azadan, sokongan penaja juga menjadi antara faktor yang membolehkan acara seumpama itu direalisasikan, sekali gus menyediakan platform untuk karya seni yang mempunyai nilai sejarah terus diraikan.
“Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani dirancang sebagai malam penghargaan yang menggabungkan elemen hiburan, nostalgia dan pengiktirafan terhadap perjalanan seni nasyid selama empat dekad
Antara tarikan utama ialah persembahan lebih 15 lagu pilihan daripada album Nada Murni yang pernah mencipta kenangan tersendiri dalam kehidupan peminat.
“Karya berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai sentimental, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik yang menghubungkan peminat dengan kenangan bersama keluarga dan sahabat,” ujarnya
Menerusi persembahan tersebut, peminat berpeluang mengimbau kembali dendangan yang pernah mewarnai industri nasyid, selain memperkenalkan warisan muzik Nada Murni kepada generasi lebih muda.
“Empat dekad bukan satu tempoh yang singkat. Perjalanan Nada Murni membuktikan bahawa karya yang mempunyai nilai dan mesej tersendiri mampu kekal dekat di hati pendengar walaupun zaman terus berubah,” katanya.
Dalam masa sama, sokongan Emas Sri Semantan sebagai Penaja Utama turut membawa makna besar terhadap usaha memperkukuh ekosistem seni nasyid.
“Kerjasama antara penganjur dan penaja amat penting kerana kesinambungan sesebuah industri seni bukan hanya bergantung kepada penggiatnya, bahkan turut memerlukan sokongan pihak lain yang percaya terhadap nilai dan potensi karya tempatan,” ujarnya.
Penganjuran itu diharapkan dapat menyemarakkan semula minat terhadap muzik nasyid, selain membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali perjalanan dan sumbangan tokoh yang membina industri berkenaan.
Orang ramai dijemput memeriahkan malam istimewa bersama Rabbani dalam meraikan empat dekad perjalanan seni Nada Murni dan tempahan tempat boleh diajukan ke pengelola di 017-252 6176. – KopiPlanet.com




