Selepas tiga tahun menyempurnakan karya baharu, penyanyi, komposer dan penerbit muzik, Chubb-E kembali mempertaruhkan single terbaharu berjudul ‘Tetap Di Sini’ yang dilancarkan pada 23 Oktober lalu di bawah syarikat rakaman 1711 Music.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Chubb-E itu bukan sekadar mengangkat kisah kesetiaan dan pengorbanan, sebaliknya menyampaikan mesej bahawa cinta sejati tidak semestinya berakhir dengan memiliki seseorang.
Chubb-E berkata, inspirasi menghasilkan lagu berkenaan tercetus daripada pengalaman peribadi serta pemerhatiannya terhadap perubahan cara masyarakat moden memahami dan menghargai hubungan percintaan.
Katanya, ramai yang terlalu mengutamakan keinginan untuk memiliki pasangan sehingga terlupa bahawa melepaskan seseorang juga merupakan sebahagian daripada pengertian cinta.
“Tetap Di Sini mengisahkan kesetiaan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintainya. Namun, mesej utama yang ingin saya sampaikan ialah nilai cinta paling tinggi sebenarnya adalah melepaskan dan merelakan.
“Kalau kita benar-benar menyayangi seseorang, kita juga perlu menerima hakikat bahawa mungkin dia mempunyai impian atau jalan hidup yang berbeza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk terus bersama hanya kerana terlalu mencintainya,” katanya.
Menjelaskan maksud di sebalik judul ‘Tetap Di Sini’, Chubb-E berkata, ia bukan menggambarkan seseorang yang masih menunggu kepulangan bekas kekasih, sebaliknya merujuk kepada kenangan dan pengalaman yang kekal dalam ingatan walaupun hubungan sudah berakhir.
“Bagi saya, yang Tetap Di Sini bukanlah seseorang yang masih mengharapkan cinta lama, tetapi jiwa, hati dan segala memori yang pernah dilalui bersama.
“Walaupun kita sudah melepaskan seseorang, setiap detik dan kenangan itu tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” jelasnya.
Chubb-E yang menghasilkan sendiri keseluruhan karya merangkumi penulisan lirik, melodi dan penerbitan muzik mengakui kejujuran emosi menjadi tunjang utama setiap lagu ciptaannya.
“Saya tidak akan menghasilkan lagu tentang sesuatu yang tidak pernah saya rasai atau tidak dekat dengan jiwa saya.
“Setiap karya mesti mempunyai emosi yang benar-benar saya fahami kerana saya mahu pendengar turut merasakan apa yang cuba disampaikan,” ujarnya.
Dari sudut muzik, ‘Tetap Di Sini’ memperlihatkan keberanian Chubb-E menggabungkan elemen pop balada dengan pengaruh hip hop yang menjadi akar muziknya.
Biarpun mengetengahkan kisah cinta yang menyentuh perasaan, penyanyi itu masih mengekalkan rentak rancak dan elemen groove bagi menghasilkan nuansa ‘bittersweet’, iaitu keseimbangan antara perasaan sedih dan gembira.
Akar muzik saya memang daripada genre hip hop dan rap. Walaupun lagu baharu saya ini romantik dan sedih, saya masih mahu mengekalkan elemen ‘groove’ dan ‘swag’ hip hop.
“Pendengar masih boleh menikmati rentaknya walaupun lirik membawa kisah yang menyentuh hati. Itulah identiti muzik saya seperti yang pernah diketengahkan menerusi lagu Biru Malam dan Tiada Noktah,” katanya.
Dalam pada itu, Chubb-E meluahkan rasa syukur apabila ‘Tetap Di Sini’ menerima maklum balas positif sejak dilancarkan, khususnya daripada pendengar lelaki yang dapat mengaitkan kisah berkenaan dengan pengalaman percintaan masing-masing.
Video muzik lagu itu turut mengetengahkan perjuangan cinta seorang lelaki yang berdepan keterbatasan kemampuan dalam
mempertahankan hubungan dengan wanita dicintainya.
Malah, Chubb-E berkongsi pengalaman apabila seorang rakannya yang juga pelakon terkenal menitiskan air mata selepas menonton video muzik berkenaan sebelum pelancarannya.
“Saya tunjukkan video muzik itu untuk mendapatkan pandangannya, tetapi dia sudah menangis sebelum sampai kepada babak kemuncak yang mempunyai kejutan jalan cerita.
“Saya sendiri tidak menjangkakan reaksinya dan ketika itu, saya sedar kisah ini benar-benar mampu menyentuh perasaan orang,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh tiga tahun tanpa pelancaran karya baharu, Chubb-E menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat bagi memberikan ruang untuk memperkukuh kemahiran dalam komposisi dan penerbitan muzik, selain mencari inspirasi serta merancang hala tuju kerjaya seninya.
Sepanjang tempoh itu, dia berjaya menyiapkan puluhan lagu yang bakal diterbitkan secara berperingkat menerusi single, EP dan album.
“Sepanjang tiga tahun itu, saya sebenarnya bukan berehat tanpa melakukan apa-apa. Saya banyak belajar, bereksperimentasi dengan pelbagai bunyi muzik dan menghasilkan karya baharu.
“Sekarang saya sudah mempunyai puluhan lagu yang siap dan disusun mengikut perancangan. Selepas ‘Tetap Di Sini’, insya-Allah akan ada banyak lagi lagu termasuk pop, balada dan hip hop, selain projek duet serta album kolaborasi bersama dua rakan yang dirancang untuk tahun hadapan,” katanya.
Bagi Chubb-E, persaingan industri muzik yang semakin sengit bukan alasan untuk membandingkan dirinya dengan artis lain, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus mempertahankan identiti muzik tersendiri.
“Daripada mencipta lagu, menerbitkan muzik, mereka bentuk kulit single sehinggalah menghasilkan idea video muzik, semuanya saya lakukan sendiri. Saya mahu setiap karya benar-benar mewakili diri saya.
“Kalau perlu menggambarkan ‘Tetap Di Sini’ dalam satu perkataan, jawapan saya ialah realiti. Kadang-kadang, sekuat mana pun kita mencintai seseorang, kalau Allah sudah menentukan tiada jodoh, kita perlu menerima ketentuan itu. Cinta sebenar bukan semestinya memiliki, tetapi juga keberanian untuk melepaskan dan merelakan,” katanya.
Sebaik dilancarkan, ‘Tetap Di Sini’ berjaya memasuki playlist ‘Made in Malaysia’, ‘Pop Terkini’, ‘New Music Friday Singapore’ dan ‘New Music Friday Malaysia’ Spotify; termasuk playlist utama, ‘Carta Malaysia 50’! Video muzik lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music. – KopiPlanet.com




