
GenF: 10 Jenama Bersaing Rebut Gelaran Pereka Fesyen Unggul
Menampilkan kelainan, Astro kali ini mengenengahkan sebuah program realiti pencarian pereka fesyen unggul, GenF bagi mengiktiraf bakat-bakat yang dimiliki oleh kesemua peserta.
Sebanyak 10 jenama bakal berasing untuk merebut gelaran Juara GenF untuk musim pertama ini. Setiap jenama akan diwakili dua orang pereka fesyen yang bergabung tenaga, kemahiran dan kreativiti untuk menghasilkan rekaan terbaik.
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, program ini adakan bagi melahirkan pereka fesyen yang berilmu untuk menghasilkan rekaan yang mempunyai nilai tinggi dan mahir dengan strategi berkesan untuk mengaut keuntungan daripada rekaan yang dihasilkan.
“Perkembangan pesat industri fesyen tanah air tidak boleh disangka. Senario positif ini turut disemarakkan oleh kemeriahan penganjuran pelbagai acara fesyen tempatan yang bertaraf dunia sekali gus menyaksikan kemunculan pelbagai jenama tempatan yang menguasai pasaran utama di Malaysia.
“Nilai kebergantungan dunia hiburan dan fesyen amat tinggi dan saling melengkapi. Melihat kepada potensi pasaran komersial ini, Astro selaku peneraju kandungan utama ingin melakar inisiatif baharu dengan menyediakan platform kepada pereka-pereka muda ini untuk berkarya dan membina legasi yang boleh melonjakkan jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi di samping mampu bertahan lama dalam bidang ini,” katanya.
GenF bakal disiarkan pada setiap Ahad bermula 11 Mac ini, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) akan menyaksikan penampilan pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim dan pengasas FashionValet, Vivy Yusof selaku juri tetap dan mentor.
Sistem penjurian adalah 100% ditentukan oleh barisan juri yang akan menilai para peserta berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu dari segi idea, kemahiran serta personaliti yang ditampilkan peserta.
Bagi membantu peserta dari sudut teknikal dan kreativiti, program ini juga menampilkan khidmat nasihat dua orang pakar fesyen iaitu Zaihani Mohd Zain dan pensyarah kanan fesyen, Faizal Hamid.
Yang menariknya, rancangan ini turut memberi kepercayaan kepada pelakon Hisyam Hamid yang akan bertindak selaku hos.
Juara GenF akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 sumbangan Astro beserta koleksi kapsul tajaan FashionValet. – KopiPlanet.com
10 Peserta Yang Bersaing Dalam GenF:
1. JENAMA: KAHOU
Vincent Hou & Yoong Jia Yi
2. JENAMA: LOLO
Lorenzo Peh & Kong Jia Hui (Ivy)
3. JENAMA: HN
Hanif Naim & Filzah Zaidi
4. JENAMA: WAN & MARY
Hazzerwan Lee & Mariam Musa
5. JENAMA: CALAQISYA
Farah Azrina Khairuddin & Hadi Aizat
6. JENAMA: JUBAHSOUQ
Fameiza Kasim & Fatin Sakinah
7. JENAMA: RIDZUAN ALIAS
Ridzuan Alias & Nasyreen ’Amirah
8. JENAMA: LARF
Allif Firdaus (Latifi) & Faiz Ripin (Black)
9. JENAMA: SETH & LUNA
Jimiey Whang & Irie Mohamed
10. JENAMA: CLOTHESOLOGY
Aynaa Manan & Mujahidah