
“Syafiq Berjaya Buktikan Dia Pengarah Versatil” – Syamsul Yusof
Pelakon Syamsul Yusof menyifatkan adiknya, Syafiq Yusof sudah berjaya membuktikan dirinya merupakan seorang pengarah filem yang versatil menerusi karya terbaharunya, KL Special Force.
Menurut Syamsul, dia sangat berbangga dengan hasil kerja adiknya itu yang dilihatnya cukup rencah serta menampakkan sisi kematangan Syafiq dalam pengarahan filem.
“Di kala usianya yang baharu sahaja mencecah 24 tahun, Syafiq sudah berjaya membuktikan kepada orang ramai bahawa dia merupakan seorang pengarah yang sangat versatil.
“Syafiq dah berjaya buktikan yang dia juga boleh mengarah filem berat yang man filem ini menunjukkan kematangannya. Secara peribadi, ini merupakan filem arahan Syafiq yang paling saya suka. Bukan saya suka sebab saya berlakon dalam filem ini, tapi memang ini satu karya dia yang cukup membanggakan saya sebagai seorang pelakon dan juga abangnya.
“Saya berpuas hati dengan lakonan saya dan saya dah cuba beri yang terbaik. Ini bukan kali pertama saya bawakan watak jahat, tapi kali ini watak antagonisnya sedikit berbeza. Saya percaya Syafiq berikan watak ini kepada saya kerana dia yakin saya boleh membawakan watak ini dengan baik. Saya menzahirkan watak Ashraf ini mengikut cara saya sendiri berserta tunjuk ajar daripada pengarah sendiri,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada Malam Gala KL Special Force di MM2 Cineplex, Damansara baru-baru ini.
Filem terbitan Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios itu telah pun memulakan tayangannya bermula semalam di 137 pawagam seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei.
Selain Syamsul, KL Special Force turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Tania Hudson, Mahmud Ali Bashah, Shaharudin Tambi, Esma Daniel, Ramona Zam Zam, Mustaqim Bahadon dan Josiah Hogan.
Berbangga dengan pencapaian adiknya, Syamsul tidak menafikan pencapaian cemerlang adiknya itu mampu memberikan persaingan yang sihat dalam bidang pengarahan termasuk kepada dirinya sendiri yang juga turut bergelar seorang pengarah.
“Syafiq memberikan persaingan dalam industri secara tidak langsung dia juga memberikan saingan kepada saya sebagai seorang pengarah juga.
“Kalau kita perhatikan tak ramai pengarah yang betul-betul sukses dalam kerjaya mereka. Ia bagus bila orang tengok karya macam KL Special Force dan mula berfikir, pengarah muda macam Syafiq pun boleh buat filem sebaik macam ini, kenapa orang lain yang mungkin lagi berusia tak boleh buat macam ini.
“Perjalanan Syafiq tak mudah, filem dia sebelum ini ada juga yang tidak berjaya, saya tengok semangat dia naik semula bila filem komedi arahannya, Abang Long Fadil mula dapat perhatian.
“Jadi, sebagai abang memang saya sangat berbangga dengan pencapaian Syafiq. Dia dah set standard filem aksi kepolisan ke satu tahap yang tinggi,” katanya. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Syamsul Yusof