
Fokus Belajar, Sweet Qismina Terpaksa Tolak Banyak Tawaran
Pelakon Sweet Qismina menyatakan perasaan ralatnya apabila terpaksa menolak banyak tawaran lakonan berikutan ingin memberikan tumpuan terlebih dahulu terhadap pengajiannya.
Memasuki tahun kedua pengajian dalam bidang perhubungan awam di sebuah institusi pengajian tinggi swasta, pelakon berusia 21 tahun itu berkata, dia hanya boleh memberikan sepenuh komitmen sebaik menamatkan pengajian dalam dua tahun lagi.
“Saya terpaksa tolak banyak tawaran utama disebabkan masih lagi belajar. Saya memang dah rancang nak habiskan pengajian tanpa menangguhkannya dan pengajian masih berbaki dua tahun lagi.
“Ibu saya sendiri dah pesan yang saya masih muda, rezeki ada sahaja dalam industri. InsyaAllah,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem televisyen (FTV), Suatukala di TGV Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur semalam.
Menerusi Suatukala, Sweet melakonkan watak Merah berdasarkan kisah dongeng rakyat, Bawang Putih Bawang Merah yang diarahkan oleh Shamyl Othman. Suatukala akan ditayangkan menerusi Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 15 Mac ini.
Ketika ditanya mengapa dia mengambil tawaran tersebut, Sweet menyatakan tempoh penggambaran yang tidak mengambil masa yang lama menyebabkan dia menerimanya selain pengalamannya sebagai pelakon kanak-kanak.
“Bila Astro tawarkan watak ini, memang banyak kali juga saya fikir. Salah satunya sebab saya masih belajar, jadi tak boleh beri komitmen sepenuhnya. Bagaimanapun, bila fikir balik saya rasa mereka ambil saya sebab memang saya dah ada pengalaman berlakon drama-drama bergenre hikayat dongeng macam ini.
“Saya pun rindu nak bawa watak budak-budak, cuma mungkin selepas ini saya akan lebih memilih watak-watak yang lebih sesuai dengan usia saya sekarang. Walaupun ramai orang cakap fizikal saya tak seperti wanita dewasa, tapi itu tidak menghalang perjalanan seni saya. Saya akan buktikan menerusi lakonan saya di sebalik tubuh badan yang kecil ini,” katanya lagi. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Sweet Qismina