
Dalam usaha untuk mencungkil bakat baharu, radio ERA telah menyediakan satu platform pertandingan, Cover Star Era yang akan dijalankan bermula 2 hingga 13 April ini.
Menurut Pengurus Kandungan ERA, Dhan Andreas, fenomena lagu cover yang semakin berleluasa di laman sosial merupakan antara satu sebab pertandingan ini diadakan bagi mencari penyanyi-penyanyi baharu yang lahir menerusi lagu-lagu cover seperti yang dilakukan Khai Bahar sebelum ini.
“Penerimaan hangat terhadap lagu-lagu cover membuktikan bahawa penyanyi laman media sosial mempunyai potensi dan bakat yang mampu mengemparkan dunia hiburan. ERA mahu memberikan sebuah platform kepada mereka untuk memulakan perjalanan sebagai penghibur tanah air.
“Pertandingan ini turut menguji tahap kreativiti para peserta. Suara yang merdu tidak memastikan kemenangan jika peserta tidak menyuntikkan citarasa unik mereka. Oleh itu, peserta haruslah mempertingkatkan kebolehan dan serlahkan originaliti mereka.
“Mereka hanya boleh nyanyi lagu artis tempatan sahaja dan video cover itu boleh dimuat naik menerusi laman Instagram dengan menggunakan tanda pagar #CoverStarERA. 12 peserta terbaik kemudiannya akan dinilai tiga orang juri dan salah seorang juri ialah Syamel yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan SuEra. Pemenang akan berpeluang merakamkan satu single di bawah syarikat rakaman yang dipilih pihak kami,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada sesi perkongsian ERA bersama media di Red Box The Gardens, Kuala Lumpur hari ini.
Turut memeriahkan majlis itu ialah Sufian Suhaimi, Nabila Razali, Amira Othman, Syamel dan Fara Hazel.
Selain pertandingan itu, ERA turut mengadakan dua kempen Lagu ERA Boomerang dan Tiru Suara ERA bagi menghargai sokongan yang diberikan pendengar setia mereka.
Lagu ERA Boomerang mengetengahkan keupayaan pendengar untuk meneka tajuk lagu serta nama penyanyi dalam masa yang ditetapkan. Kempen itu akan berlangsung dari 19 Mac hingga 30 Mac ini.
Pendengar yang berjaya meneka lagu yang dimainkan akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM14,000.
Sementara itu, kempen Tiru Gaya ERA pula menekankam keupayaan daya ingatan para pendengar di mana penyampai- penyampai radio ERA akan melakonkan suara sesuatu watak dan pendengar harus menjawab dalam yang ditetapkan untuk memenangi wang tunai sebanyak RM14,000.
Tiru Gaya ERA akan berlangsung dari 30 April hingga 11 Mei ini.
Radio ERA boleh didengari menerusi frenkuensi 103.30 dan boleh juga dilayari melalui web, www.era.je. – KopiPlanet.com