Cerita ArtisHiburan

Nak Jadi Artis Bawah Pengurusan Stacy Kena Jaga Imej & Stamina

Penyanyi Stacy yang kini menubuhkan syarikat pengurusan artis, Rhyme & Rhythm Music Entertainment (R&R) bersama suaminya, Akim Ahmad menetapkan syarat untuk artis-artis di bawah naungan mereka supaya sentiasa kekal sihat dan fit.

Selaku Pengarah Urusan R&R, baginya imej dan stamina artis di bawah pengurusan mereka perlu sentias dititik beratkan kerana ia merupakan antara faktor yang akan memastikan kelangsungan seseorang artis itu dalam industri hiburan.

“Saya memang ada perancangan untuk buka pusat gimnasium. Lepas ini pun saya akan pastikan setiap artis di bawah pengurusan syarikat kami akan sentiasa menjaga badan bagi mengekalkan penampilan menarik. Lebih kurang macam inilah… nak jadi artis Stacy, mereka kena pergi gim.

“Pada saya senaman itu penting bagi memastikan stamina di atas pentas serta sentiasa bertenaga ketika menjayakan persembahan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Akim & The Majistret, Stereotype di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, syarat yang diberikannya itu bukanlah bermakna ingin mendera artis-artisnya, sebaliknya perkara yang dilakukannya adalah suatu perkara yang positif untuk perjalanan karier seseorang artis itu.

“Bukan saya nak mendera, tetapi ia untuk mengajar mereka disiplin. Kelihatan presentable juga perlu ada bagi diri seorang artis. Saya tidak faham kenapa kebanyakan artis tiada disiplin untuk nampak fit,” katanya.

Buat masa ini, R&R menguruskan tiga artis di bawah pengurusan mereka iaitu Akim Ahmad, kumpulan Sevendays dan Elica.

Stacy berkata, penubuhan syarikat itu adalah sebagai persediaan buatnya pada masa hadapan memandangkan dia sudah 10 tahun berada di bawah syarikat pengurusan yang menguruskan kerjayanya selama ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button