
Kutipan Filem-Filem Tempatan Kian Merudum: Salah Siapa?
Baru-baru ini penulis telah menonton filem KL Special Force karya pengarah Muda Syafiq Yusof, Lee Chong Wei arahan pengarah Teng Bee dan filem Hantu Wangan buah tangan terbaru pengarah tersohor Ahmad Idham. Kesimpulannya, filem kita masih hebat, menepati citarasa tempatan dan patut disokong. Ini bukan fakta kosong, kerana ia disokong dengan pengalaman penulis dalam industri pawagam selama lebih 10 tahun dan dalam tempoh itu, menonton semua filem yang ditayangkan di pawagam adalah satu kewajipan. Penulis sangat memahami kriteria filem mengikut perspektif penonton kerana pawagam adalah sistem terakhir dalam industri untuk sesuatu karya ini menemui masyarakat.
Sebagai perbandingan, sehingga artikel ini ditulis, rekod filem bertaraf hollywood di Malaysia sudah pun menjangkau kutipan berkali ganda berbanding filem tempatan dengan catatan lima kutipan tertinggi di Malaysia bermula dengan Fast & Furious 7 (2015) dengan kutipan RM 60.6 juta, Jumanji : Welcome To The Jungle (2017) mengutip RM 55.9 juta, The Fate Of The Furious (2017) mengutip RM 52.0 juta, Avengers : Age Of Ultron (2015) dengan RM 51.1 juta dan Jurassic World (2015) dengan RM 48.5 juta.
Manakala untuk lima ranking rekod pecah panggung bagi filem tempatan di dahului dengan Abang Long Fadil 2 (2017) dengan kutipan RM 18.1 juta, diikuti oleh Polis Evo (2015) dengan RM 17.4 juta, The Journey (2014) dengan RM 17.1 juta, Munafik (2016) dengan RM 17.04 juta dan Ola Bola (2016) dengan kutipan RM 16.6 juta.
Berpandukan kepada fakta ini, jelas filem kita masih jauh untuk menambat selera penonton tempatan.
Namun yang ingin disentuh di sini bukan tentang lima filem terbaik seperti yang dinyatakan, tetapi sindrom kegagalan filem-filem tempatan kita yang begitu amat mengecewakan. Melihat secara umum, senarai filem yang di bawah Skim Wajib Tayang pada tahun 2015 hingga 2017, catatan kutipan filem kita secara majoritinya berada pada kutipan kasar bawah paras RM 1 juta. Lebih malang lagi, ada kutipan yang mencecah paras RM1,000 ke RM10,000. Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan dalam soal ini? Ia harus dikupas secara mikro terhadap ekosistem industri perfileman itu sendiri, di mana ianya harus difahami oleh semua yang terlibat dalam industri ini.
Secara asasnya, industri perfileman memiliki tiga ekosistem utama iaitu :-
- Penerbit/Produksi
- Pengedar
- Pemamer
Ketiga-tiga ekosistem ini memainkan peranan yang penting dalam sesuatu kejayaan filem itu. Kriteria bidang tugas bagi ketiga-tiga ini sentiasa berkesinambungan dan harus berfungsi dengan baik agar kudrat filem itu dapat disalurkan dengan usaha yang optimum.
Untuk mengenali peranan ketiga-tiga ekosistem ini dan sejauh mana peranannya dapat menentukan kejayaan filem pecah panggung di pawagam, penulis akan menerangkan secara ringkas perinciannya untuk kefahaman umum agar kita memahami punca sebenar kegagalan dan kejayaan sesuatu filem di pawagam.
- Penerbit/Produksi
Penerbit/Produksi adalah asas sesuatu filem itu dihasilkan. Di sinilah benih filem disemai menerusi satu proses yang panjang dalam tiga rangkaian sehingga lengkap menjadi sebuah filem untuk dipasarkan iaitu Pra-Produksi, Produksi dan Fasa Produksi (Post Production). Sejujurnya, penulis boleh katakan bahawa 50% kejayaan filem itu terletak dalam fasa ini.
Di peringkat ini, Penerbit/Produksi harus jelas menentukan hala tuju filem dengan idea, tema, pelakon, kos, skrip, lokasi, jangka masa produksi, produksi sehinggalah ke peringkat editing, sound doubing, CGI dan lain-lain.
Peranan Penerbit Produksi tamat selepas filem telah siap dengan final editing dan salinan utama diterbitkan.
- Pengedaran Filem
Pengedar filem adalah satu peranan di mana ia akan menggerakkan filem yang dihasilkan tadi untuk segala proses persediaan bagi tayangan di pawagam. Dalam konteks di Malaysia, syarikat pengedar yang dilantik akan berperanan bermula dengan membuat urusan pelepasan di Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan mendaftarkan filem di bawah Skim Wajib Tayang FINAS.
Filem di bawah Skim Wajib Tayang akan memperolehi keistimewaan untuk slot tayangan di pawagam-pawagam Malaysia, di mana FINAS akan berperanan sebagai koordinator untuk menentukan slot tayangan dan menjaga kepentingan filem-filem ini.
Dalam satu ketegori, di peringkat ini juga syarikat pengedar berperanan untuk membuat aktiviti pemasaran mengikut perjanjian dengan penerbit/produksi, selain terlibat dalam menerbitkan poster filem untuk edaran ke pawagam. Namun, ada juga situasi di mana penerbit produksi melantik agensi lain untuk melaksanakan program pemasaran mereka. Pun begitu, aktiviti pemasaran ini tetap berada dalam kategori fasa kedua ekosistem ini.
- Pemamer Filem
Dalam konteks ini, pemamer filem yang dimaksudkan ialah pawagam atau panggung wayang. Penulis tidak akan menyentuh segmen pemamer lain seperti TV, stesen siaran berbayar, DVD – CD dan lain-lain. Peranan pawagam nampak seperti mudah. Di Malaysia, apabila mendapat makluman bertulis daripada Jawatankuasa Wajib Tayang FINAS mengenai tayangan, pawagam akan menyediakan slot tayangan mengikut ketetapan yang dinyatakan dalam Syarat Wajib Tayang FINAS. Mudah dan ringkas.
Persoalannya, dengan laluan yang kemas dan disokong oleh badan kerajaan seperti FINAS, kenapa sebahagian besar filem kita gagal. Adakah kerana produk filem kita tidak baik? Atau kegagalan syarikat pengedar menjalankan peranannya, atau sikap pemamer filem yang tidak patriotik dalam menyediakan slot terbaik untuk filem tempatan? Atau mungkin juga, Jawatankuasa Wajib Tayang FINAS gagal memainkan peranannya membantu filem tempatan?
Untuk mendapat jawapannya, kita tidak perlu jauh. Jawapannya ada pada ahli industri perfileman itu sendiri. Hakikatnya, ahli industri perfileman kita tidak pernah bersatu dan memahami keperluan setiap ekosistem ini. Penerbit/Produksi merasakan produk mereka adalah yang terbaik, syarikat pengedar sekadar mengedarkan filem mengikut asas minima yang diperlukan dan pemamer sekadar menayangkan filem seperti diarahkan oleh Syarat Wajib Tayang FINAS. Roh kejayaan langsung tidak disemai oleh semua yang terlibat. Lebih malang lagi, peranan Jawatankuasa Wajib Tayang FINAS sangat fokus dalam kotak peranannya sekadar memastikan slot tayangan di pawagam.
Melihat kepada situasi ini, sebenarnya ianya boleh diperbaiki. Ketika benih filem ini masih diperingkat pra-produksi, penerbit/produksi seharusnya memiliki maklumat yang cukup mengenai sasaran penonton, sasaran jumlah realistik kutipan, jumlah pawagam yang diperlukan, strategi pemasaran, genre dan jangkaan ditayangkan. Malah, ketika ini perlantikan syarikat pengedar harus segera ditetapkan dan bukan nya ketika filem sudah siap atau hampir waktu tayangan. Inilah antara kesilapan kecil yang akan memberikan impak besar kepada filem tersebut.
Permilihan syarikat pengedar juga harus memiliki kriteria yang tepat. Syarikat pengedar yang baik harus memiliki kekuatan hubungan dengan pawagam kerana kekuatan ini akan menjelmakan sokongan dan usaha yang padu kepada tayangan di pawagam itu nanti. Ada sesetengah syarikat pengedar bukan sahaja tidak mempunyai pengalaman dalam pengedaran filem ini, malah tidak mempunyai hubungan yang baik dalam pasaran pawagam. Ini akan mewujudkan masalah interaksi yang berat. Berdasarkan pengalaman penulis, antara syarikat pengedar filem berpengaruh di Malaysia ketika ini adalah seperti Astro Shaw, Skop Production, Empire Film Solution dan syarikat pengedar berasaskan pawagam. Aspek ini harus difahami kerana walaupun adakalanya syarikat itu mempunyai nama yang besar, tidak bermakna ia mempunyai keupayaan berperanan sebagai syarikat pengedar yang baik.
Di peringkat pawagam pula, ia tidak sekadar menjalankan amanah yang diberikan oleh Syarat Wajib Tayang dalam konsep melepaskan batuk di tangga. Pawagam sebenarnya memiliki teknik sistem pengurusan film programming yang sistematik. Sistem ini akan menentukan senarai pawagam, dewan tayangan dan masa tayangan terbaik untuk sesuatu filem. Di sinilah apa yang yang disebut oleh penulis tadi tentang kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki oleh syarikat pengedar untuk memantau sistem ini agar peluang slot tayangan yang diberikan oleh pawagam berada pada sistem yang maksima. Syarikat pengedar yang baik akan akan mampu mengesan budaya tayangan ini dan perbincangan bersama pawagam akan sentiasa berlaku menjurus kepada penambahbaikan peluang tayangan.
Jika semua sistem ini diaplikasikan dengan sepenuhnya, walaupun tiada jaminan, kejayaan itu pasti akan datang. Sekurang-kurangnya usaha yang terbaik telah dilaksanakan. Bagaimanapun, seperti yang penulis sebut, hasilnya nanti tetap bergantung kepada bentuk filem yang disajikan, sama ada ia mampu menambat selera penonton ataupun tidak. Filem itu nanti tetap akan menjadi makanan utama untuk dihadam oleh pasaran.
Jadi persoalan asal tadi, apakah semua kriteria ini dilaksanakan dengan baik ketika ini? Pada pandangan mata kasar penulis, jawapannya tidak. Industri kita tidak mempunyai komunikasi yang baik dalam setiap ekosistem ini. Apabila pasaran mula menghukum filem tersebut dengan kutipan yang teruk, menjadi amalan ahli industri kita akan saling menuding jari. Peluru ditabur merata-rata dan antara seteru sejak berzaman ialah penerbit/produksi dan pawagam. Permasalahan ini memang tiada kesudahan dari dahulu hingga sekarang. Ia boleh reda seketika, tetapi akan kembali hangat bila musimnya tiba.
Lebih mengecewakan apabila kini senarai filem kita yang layak ke pawagam hanya dengan jumlah tidak sampai separuh dari jumlah pawagam di Malaysia. Harus diingat, atas kapasiti peribadi kita boleh mentafsir sesuatu filem mengikut selera kita sama ada bagus atau sebaliknya. Namun perlu disedari bahawa tidak ada seorang pun atau apa-apa jawatankuasa dalam dunia ini boleh menjadi penentu pasaran yang akan menentukan sesuatu filem itu akan pecah panggung atau tidak selagi filem tersebut belum berdepan dengan masyarakat. Hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.
Jadi harapan penulis kepada semua ahli industri, atas nama kemajuan industri perfileman Malaysia, tingkatkan komunikasi dan kerjasama kita dalam setiap peranan dalam industri ini. Jadikanlah perbincangan dalam semua ekosistem ini sebagai asas dalam menentukan hala tuju filem dan bagi yang berkuasa, penulis merayu berilah peluang untuk tayangan dengan jumlah pawagam yang sebaiknya. Kalau ingin menghukum, biar pasaran yang menjatuhkan hukuman. Peranan kita adalah untuk menyediakan peluang. Apapun, setiap keputusan yang dibuat secara konsensus oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab ini, penulis tetap menghormatinya atas kapasiti profesional.
Majulah Industri Perfileman Untuk Negara…
Onn Norshal Hamzah
(pembaca setia portal KopiPlanet.com)