Cerita ArtisHiburan

Syamsul Yusof Yakin Adi Putra Mampu Bawa Watak Mat Kilau

Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof berharap tiada pihak yang akan mempertikaikan pemilihan Datuk Adi Putra sebagai aktor yang akan memainkan peranan tokoh pejuang tanah air itu.

Menurut Syamsul, dia percaya dengan bakat yang dimiliki Adi dan yakin pelakon kelahiran Singapura itu mampu memberikan hasil lakonan yang bagus menerusi filem epik arahannya itu.

“Saya faham mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa kami pilih Adi dan bukan pelakon asal negeri tersebut untuk bawa watak Mat Kilau?

“Pemilihannya adalah kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dan saya yakin dia sebagai pelakon berpengalaman akan membawakan watak ini dengan baik.

“Saya harap isu kenapa pelakon luar yang dapat pegang watak tokoh pejuang tempatan tidak dijadikan isu dalam hal ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Mat Kilau di Dataran Karyawan Finas, Ulu Klang baru-baru ini.

Selain Adi, filem ini turut dibintangi Beto Kusyairy, Fattah Amin, Farid Amirul, A.Galak, Nadiya Nisaa, Ali Karimi dan pelakon Indonesia, Yayan Ruhiyan.

Mat Kilau merupakan hasil terbitan Studio Kembara dengan kerjasama Skop Production Sdn. Bhd.

Filem yang menelan belanja RM5 juta ini turut mendapat geran bantuan Finas sebanyak RM1.5 juta.

Bakal memulakan penggambaran pada 1 April ini, Syamsul berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang bersesuaian untuk filem epik itu, antaranya di sekitar Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Untuk menghasilkan filem tentang seseorang tokoh, saya banyak buat kajian menerusi pembacaan dan dengan membuat lawatan ke muzium agar dapat gambaran mengenai keperibadian Mat Kilau.

“Para pelakon pun sudah memulakan latihan seni silat bagi mempersiapkan mereka sebab dalam filem ini banyak babak-babak aksi menceritakan tentang perjuangan Mat Kilau dan rakan-rakan berjuang menentang penjajah British di Pahang.

“Saya jangkakan penggambaran mengambil masa selama dua bulan dan melibatkan hampir 500 pelakon tambahan. Saya boleh katakan filem ini merupakan karya terbesar yang akan saya arahkan,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button