
MXM Teruja Bertemu Kali Pertama Peminat Di Malaysia
Duo K-Pop yang semakin mendapat tempat di hati para peminat tempatan, MXM buat pertama kalinya akan mengadakan sesi bertemu peminat di Malaysia.
Majlis bertemu dengan peminat itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen HGH, Kuala Lumpur pada jam 6 petang, esok.
MXM yang dianggotai Lim Young Min, 23, dan Kim Dong Hyun, 20, melahirkan perasaan teruja dengan sambutan yang diterima daripada peminat Malaysia.
“Kami berasa cukup terharu dengan sambutan yang diberikan peminat. Kami berterima kasih kepada peminat yang mengalu-alukan kedatangan kami ke sini,” katanya kepada Kopiplanet.com.
MXM ditemui pada majlis sidang media yang diadakan di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy.
MXM mula bertapak dalam industri seni sejak terhasilnya single pertama mereka berjudul Unmix yang dikeluarkan pada 6 September tahun lalu.
Duo ini terlebih dahulu pernah menyertai program realiti TV berjudul Produce 101 sebelum disambar syarikat Brand New Music dan Warner Music Korea sebagai artis rakaman mereka.
MXM baharu sahaja melancarkan single kedua, Rematch minggu lalu dan setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
Ketika ditanya siapa selebriti yang mereka ingin berkolaborasi di masa hadapan, kedua-keduanya cukup teruja mengatakan ingin berduet dengan idola mereka iaitu Jay Park.
“Kami ingin mencuba pelbagai genre muzik selepas tampil dengan single berentak funky.
“Kalau ditanya siapa kami ingin berduet, pastinya impian MXM adalah untuk bekerjasama dengan idola kami, Jay Park.
“Kami memang sangat meminatinya dan menyimpan cita-cita ingin meraih kejayaan seperti dirinya di masa akan datang,” kata Young Min. – KopiPlanet.com