
Pertama Kali Mengarah, Mawi Banyak ‘Cedok’ Ilmu Syamsul Yusof
Pertama kali memegang portfolio sebagai seorang pengarah filem, penyanyi dan penyampai radio, Mawi berkata dia banyak mengambil input dan ilmu daripada pengarah berbakat besar, Syamsul Yusof.
Menurutnya, Syamsul merupakan seorang yang tidak kedekut dalam berkongsi ilmu malah sering kali memberikan Mawi nasihat bagi memastikan kelancaran proses penggambaran filem terbitan syarikat produksi Mawi sendiri iaitu MW Entertainment.
“Untuk filem pertama arahan saya ini, saya banyak rujuk dengan Syamsul Yusof. Kami pun dah lama kenal sejak buat lagu bersama.
“Sebelum buat filem saya dah banyak bertanya pada dia dan yang bagusnya Syamsul langsung tak lokek berkongsi ilmu. Dia banyak bagi nasihat bila saya tunjuk skrip filem ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Mawi ditemui pada majlis tayangan program Ramadan Astro di Wow KL, Kuala Lumpur semalam.
Walaupun filem arahannya itu sudah habis menjalani penggambaran, namun sehingga kini Mawi masih belum mempunyai judul untuk karyanya itu.
“Sudah habis ‘shooting’ pun saya masih belum ada tajuk untuk filem ini. Idea tak sampai lagi nak letak tajuk apa. Sekarang filem dalam proses editing dan saya jangkakan filem ini akan mula ditayangkan pada Oktober ini,” katanya.
Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan itu dibintangi oleh Hazama, Joey, Achey, Johan As’ari dan Amira Othman.
Menjadikan filem-filem arahan Tan Sri P. Ramlee sebagai rujukan, Mawi mengharapkan buah tangan sulungnya ini akan dapat diterima peminat malah dia sudah bersedia menerima kritikan yang bakal dilemparkan terhadap filemnya.
“Saya banyak juga merujuk pada filem-filem P.Ramlee, kita tengok filem arahan beliau sehingga ke hari ini jadi kegemaran ramai. Bukanlah bermakna saya cuba nak tiru macam filem beliau, sebaliknya cuba mengambil mana-mana input yang boleh dijadikan contoh untuk filem-filem akan datang.
“Untuk filem pertama ini, saya sudah bersedia menerima kecaman. Saya tak kisah pun dikritik, tapi apa-apa pun sebelum nak kecam, silalah tengok dahulu filem ini di pawagam dan kalau lepas itu nak kritik, saya terima sahaja asalkan kritikan itu membina,” katanya. – KopiPlanet.com