
Shaheizy Sam Mahu Tumpu Bisnes, Rancang Bawa Keluarga Bercuti
Setelah memberikan sepenuh tumpuan kepada penggambaran filem Polis Evo 2, pelakon Shaheizy menyatakan dia kini dalam fasa untuk berehat sementara daripada dunia lakonan.
Sam berkata, buat masa ini dia mahu memberikan lebih tumpuan kepada perniagaan yang sedang diusahakan iaitu baju kurta dan baju Melayu untuk kanak-kanak.
“Seperti yang sudah sedia maklum saya memang sejak dahulu lagi tidak akan ambil sebarang tawaran lakonan sepanjang bulan Ramadan.
“Jadi, dengan masa yang ada ini saya akan sibuk mempromosikan baju Kurta Crown yang merupakan kerjasama saya dengan PrimaValet dan baju Melayu Kanak-Kanak yang menggunakan nama anak saya iaitu Mat Yip,” ujarnya.
Sam berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui semasa majlis pelancaran pembukaan cawangan terbaru PrimaValet di Wangsa Maju baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sam memberitahu bahawa dia juga bercadang untuk membawa keluarganya pergi bercuti setelah sebelum ini sering sibuk dengan jadual lakonan.
“Kalau ikutkan buat masa sekarang tumpuan saya hanya pada perniagaan dan mahu bawa keluarga bercuti. Kalau nak kembali berlakon semula, mungkin pada hujung tahun ini baru saya bersedia semula,” ujarnya. – KopiPlanet.com