
Anak Jati KL, Betty Teruja Beraya Di Kampung Suami
Pelakon drama bersiri Mak Cun 4, Betty Rahmad berkata dia teruja merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini kerana berkesempatan pulang ke kampung seperti mana perantau-perantau yang lain.
Anak jati Kuala Lumpur itu berkata dia tidak pernah merasai keindahan beraya di kampung memandangkan dilahirkan dan dibesarkan di ibu kota.
“Untuk raya kali ini saya beraya di kampung suami, Parit Buntar, Perak selepas beraya bersama keluarga di sebelah saya di KL. Pada raya ketiga, saya dan keluarga suami akan bercuti di Lumut untuk buat aktiviti memancing bersama-sama,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Betty atau nama sebenarnya, Norsham Rahmad, 36, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Ardy Damis, 31, pada Januari lalu.
Mengambil kesempatan bercuti sempena musim perayaan, Betty berkata aktiviti sebegitu mengeratkan lagi hubungan mereka suami isteri sementelah mereka masih lagi dalam fasa berbulan madu.
Sementara itu, ketika ditanya soal cahaya mata, Betty berkata dia tidak merancang dan bersedia jika dikurniakan anak dalam masa terdekat.
“Saya dan suami tidak merancang, kami serahkan pada rezeki. Saya memang suka budak-budak malah dari dulu selalu jaga anak-anak kakak-kakak saya. Kalau boleh saya idamkan nak dua cahaya mata,” katanya.
Berceritakan lebih lanjut mengenai statusnya yang kini bergelar seorang isteri, Betty berkata suaminya seorang yang tidak cerewet makan selain ringan tulang membantunya melakukan kerja rumah.
“Suami saya seorang yang tidak cerewet kalau makan, dia kalau bagi makan telur dengan nasi pun dah cukup. Memasak bukan satu perkara yang sukar untuk saya sebab dari dulu memang dah suka masak.
“Yang saya perasan, suami rajin membantu buat kerja rumah, macam dia tahu saya tak suka buang sampah, dia akan buat benda itu. Itu yang saya suka tentang dia. Saya tak rasa terbeban dalam melakukan kerja rumah sebab kami buat bersama-sama,” katanya lagi. – KopiPlanet.com