Cerita ArtisHiburan

Altimet Hadiahkan Peminat Konsert & Album Baru Sebelum Bersara

Penyanyi Altimet nekad untuk bersara pada ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada 27 November ini biarpun kerjaya seninya berada di puncak kegemilangan pada ketika ini.

Menurut Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman dia mengambil pendekatan untuk berundur daripada bidang seni memandangkan apa yang diinginkannya selama ini sudah pun tercapai.

“Saya akan teruskan dengan rancangan untuk bersara. Niat ini memang sudah saya tanamkan sejak 10 tahun lalu. Sekarang masanya untuk saya cuba benda lain pula selain dari menyanyi. Selepas ini saya akan fokus pada perniagaan salon barber dan mungkin akan terus menulis lagu untuk penyanyi-penyanyi lain di luar sana.

“Semua yang saya inginkan sepanjang bergelar anak seni sudah pun terlaksana dan saya tahu mungkin ini ujian yang perlu dihadapi bila mana saya ingin berundur ketika lagu-lagu saya kini semakin dikenali ramai.

“Ini adalah cabaran tapi saya kena teruskan juga dengan niat untuk berhenti daripada menyanyi sebab ingin memberi ruang kepada rapper generasi baharu untuk bertapak. Kalau bukan kita bagi peluang, siapa lagi,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Altimet ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single terbaharunya, Muda berkolaborasi dengan rapper muda, Kidd Santhe di Warner Music, Neo Damansara semalam.

Sebagai menghargai peminat yang tidak jemu menyokong perjalanan karier seninya, Altimet berkata dia kini sedang sibuk merakamkan 12 lagu baharu untuk album terakhirnya yang dijangka dilancarkan pada hujung November ini.

Selain album itu, Altimet yang cukup popular dengan lagu Amboi ini turut merangka satu konsert berskala besar sebagai penutup perjalanan seninya yang mula bertapak sejak dua dekad lalu.

“Saya kini sedang sibuk merakamkan lagu, kesemuanya lagu baharu kerana ia memang cara saya yang tidak suka untuk keluarkan lagu-lagu lama yang diberi nafas baharu.

“Tentang konsert pula, ia masih dalam perancangan dan pihak kami akan war-warkan segala informasi mengenainya dalam masa terdekat. Yang pasti ia juga akan dibuat menjelang hari jadi saya nanti,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button