Cerita ArtisHiburan

Sering Bertukar Vokalis, Dia Band Tidak Serik Meriahkan Industri Seni

Biarpun sudah dua kali bertukar vokalis sejak penubuhan band enam tahun lalu, empat ahli terdahulu anggota Dia Band tidak serik untuk memperkukuhkan jenama band mereka di mata peminat tempatan.

Selaku jurucakap kumpulan, Fauzi berkata Izhan merupakan vokalis terbaharu Dia Band selepas Yazid dan Shark terpaksa dilepaskan kerana terikat dengan komitmen kerja mereka.

“Izhan merupakan penyanyi utama kumpulan kami selepas pemergian Yazid dan Shark. Shark terpaksa kami lepaskan kerana mereka terikat dengan komitmen kerja harian mereka sebagai penjawat awam manakala dengan Yazid, itu merupakan projek bersama kami untuk single pertama dahulu yang berjudul Mungkin.

“Disebabkan ketiadaan Shark, kami lakukan ujibakat bagi mencari penggantinya dan akhirnya bertemu dengan Izhan yang mempunyai kualiti vokalis yang kami inginkan,” kata Fauzi kepada KopiPlanet.com.

Fauzi ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single Lupakan Dia di Red Box Plus Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

Dia Band yang ditubuhkan pada 2012, dianggotai oleh Rafie selaku gitaris, Eppy ( pemain keyboard), Fauzi (pemain dram), Isma (bassist) dan Izhan (vokalis) kini tampil dengan single kedua, Lupakan Dia.

Sementara itu, Izhan, 19, berkata dia sedia menggalas tanggungjawab selaku penyanyi utama kumpulan itu memandangkan dia sendiri meminati Dia Band sejak di awal kemunculannya.

“Saya memang minat dengan genre lagu Indo Pop yang dibawakan Dia Band dan apabila mereka ada buat ujibakat terbuka baru-baru ini terus saya cuba dan akhirnya rezeki menjadi milik saya.

“Saya dah bersedia dengan segala cabaran sebagai anak seni dan harap abang-abang saya dalam kumpulan ini dapat beri tunjuk ajar kepada saya mengenai selok belok industri hiburan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tidakkah akan menimbulkan kekeliruan peminat memandangkan dalam muzik video Lupakan Dia, ia memperlihatkan penampilan Shark dan bukannya Izhan, Fauzi menjawab, “Muzik video itu kami dah rekod pada awal tahun ini dan sudah pun memasuki laman Youtube sejak bulan Mac lalu.”

“Kalau nak rekod balik, agak sayang sebab jumlah tontonan pun sudah cecah hampir 400,000 ribu. Jadi kami biarkan sahaja tapi harap peminat tidak terkeliru. Itu merupakan penampilan terakhir Shark bersama kami sebelum dia terpaksa angkat kaki kerana kesibukannya dengan kerja harian sebagai anggota polis,” jelas Fauzi lagi.

Single Lupakan Dia yang masih lagi mengekalkan genre Indo Pop merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.

Muzik video Lupakan Dia yang menjalani penggambaran di Sungai Besar, Selangor menampilkan pelakon kanak-kanak, Mia Sara Nasuha. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button