Cerita ArtisHiburan

Dicop Garang, Syafinaz Bimbang Tiada Yang Mahu Datang Ujibakatnya

Dipilih menjadi salah seorang tenaga pengajar dalam program realiti nyanyian Mentor 7, Datuk Syafinaz Selamat mengakui ada berasa sedikit gusar sekiranya tiada calon yang mahu menghadirkan diri ke sesi ujibakat untuk mencari protege di bawah seliaannya.

Menurut Syafinaz, hal itu mungkin disebabkan ramai pihak sebelum ini menyangka dirinya seorang yang garang di sebalik personalitinya yang kelihatan agak tegas.

“Saya sudah sedia menyahut cabaran sebagai seorang mentor bagi membimbing bakat baharu. Cuma, saya takut tiada calon yang berani datang ke uji bakat.

“Sebenarnya saya tidak garang, sebaliknya hanya mahukan protege yang fokus dan sedia mengikut tunjuk ajar,” katnaya kepada KopiPlanet.com.

Syafinaz ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan mentor, Mentor 7 di Sri Pentas Bandar Utama, Damansara baru-baru ini.

Selain Syafinaz, tiga lagi selebriti popular iaitu Siti Nordiana, Hafiz Suip dan Aizat Amdan turut bergelar mentor untuk musim ini.

Menurut Syafinaz, sebelum ini beliau sudah banyak kali ditawarkan menjadi mentor namun dia terpaksa menolak disebabkan kesibukan kerja.

“Sebelum ini pihak produksi pernah beberapa kali tawarkan kepada saya tapi pada masa itu belum berkesempatan sebab saya sibuk dengan komitmen kerja.

“Tapi, bila fikir-fikir semula, kerja memang tidak akan pernah habis, jadi saya ambil peluang ini untuk membimbing bakat baharu yang betul-betul serius ingin bergelar penyanyi,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya kriteria yang diteliti Syafinaz untuk bergelar protegenya, menurut pensyarah vokal di beberapa institusi pengajian tinggi ini, dia lebih mementingkan bakat yang ada dalam diri seseorang itu daripada melihat dari segi penampilan dan rupa paras.

“Saya memang pentingkan kualiti vokal dan tentang bab penampilan itu jatuh nombor dua. Bagi saya, kalau penampilan kurang menarik, perkara itu masih boleh diperbaiki dengan beri ‘grooming’.

“Yang paling penting, protege yang dipilih itu nanti sudi mendengar segala tunjuk ajar yang diberikan saya kelak,” katanya.

Sesi uji bakat akan bermula di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 dan 19 Ogos ini, disusuli Sri Pentas pada 8 dan 9 September depan membabitkan pencarian protege Syafinaz, diikuti Aizat (15 dan 16 September), Hafiz (22 dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 dan 30 September). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button