
Aishah Pertimbang Tindakan Undang-Undang Isu Hadiah Pemenang GV
Nama juara program Gegar Vaganza musim keempat GV4, Aishah kembali menjadi perhatian selepas dia membuat luahan hati menerusi satu entri di laman Instagram baru-baru ini.
Menurut Aishah, sehingga kini dia masih belum menerima hadiah sebidang tanah, selain hadiah barang kemas yang dimenanginya sudah dibukti palsu oleh kedai emas yang dikunjunginya.
“Saya bukan sengaja nak jadikan isu ini viral, tetapi sudah hampir setahun saya dan rakan-rakan GV seperti Liza Hanim dan Lan Solo masih belum lagi diberikan hadiah sebidang tanah seperti yang dijanjikan. Saya dah cuba berhubung dengan pihak berkenaan bagi menetapkan tarikh untuk berjumpa bagi berbincang mengenai isu ini.
“Mereka hanya berkata akan berjumpa lepas raya haji ini, namun sehingga kini memang tiada khabar daripada pihak mereka. Ramai netizen mencemuh saya berkenaan isu ini. Kalau mereka di tempat saya, apa mereka rasa. Ketika menyertai GV4, kami sudah dijanjikan sekian-sekian hadiah, tetapi sehingga nak masuk musim terbaharu GV pun kami masih belum terima lagi.
“Saya langsung tidak menyalahkan pihak Astro di atas perkara ini kerana ia merupakan hadiah daripada penaja. Tak baiklah buat kami macam ini, walaupun ia cuma hadiah tambahan atau hadiah bonus, apa yang sudah dijanjikan kenalah ditunaikan,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com di ibu kota, hari ini.
Gelaran juara GV4 yang disandang Aishah melayakkannya memenangi hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, sebidang tanah lot banglo, baucer membeli-belah dan trofi.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 53, berkata daripada senarai hadiah itu dia cuma bermasalah dengan hadiah tanah lot dan barangan kemas yang ditaja oleh Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.
Menurut Aishah, dia sudah lama memberi peluang kepada pihak berkenaan bagi menyelesaikan perkara tersebut namun sehingga kini masih tiada respons daripada mereka yang terlibat.
“Saya kalau boleh tidak mahu membawa perkara ini ke peringkat undang-undang tapi kalau mungkin perkara ini tidak juga selesai lagi mungkin saya akan pertimbangkannya. Tapi saya masih lagi beri ruang untuk pihak berkenaan untuk berbincang mengenai perkara ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai barangan kemas yang sebelum ini diwar-warkan berharga RM80,000, Aishah mengakui berasa hampa apabila mengetahui barangan kemas itu adalah palsu dan tidak mempunyai nilai.
“Berkenaan barang kemas itu pula sudah dua kedai emas saya pergi, mereka nilai dan kata berlian itu adalah palsu. Sebenarnya saya dah tahu perkara ini dua minggu lepas menang, saya pergi ke kedai emas untuk jadikan potong barang kemas jadi lebih kecil saiznya tapi bila sampai di sana, pekerja itu nilai barang kemas itu mereka cakap ia palsu.
“Terus-terang memang saya kecewa sebab saya nak pakai barang kemas itu sebagai kenang-kenangan yang saya pernah sertai GV tapi jadi macam ini pula. Bukan satu kedai sahaja saya bawa pergi nilai, malah kedai kedua pun cakap ia palsu,” katanya lagi.
Aishah juga turut menjelaskan sekiranya Vida inginkan semula barangan kemas tersebut, dia tidak teragak-agak untuk memulangkannya. Bagaimanapun, dia akan menyimpan surat penilaian dari beberapa buah kedai emas bagi mengesahkan apa yang dikatakannya adalah benar.
“Saya boleh pulangkan kalau beliau mahu tapi yang pasti saya akan simpan surat penilaian daripada penilai barangan kemas bagi membuktikan apa yang saya cakap adalah betul dan bukannya saya saja-saja buat cerita,” katanya.
Menurut pelantun lagu Camar Yang Puang ini, insiden itu sedikit sebanyak telah memudarkan semangatnya untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian lagi selepas ini. – KopiPlanet.com