
Jurusolek Artis Dikecam Sebab ‘Kutuk’ Hidung Kim Do Yeon
Gara-gara satu postingnya di laman Instagram, jurusolek terkenal artis K-Pop, Park Tae Yoon teruk dikecam peminat ahli kumpulan Weki Meki, Kim Do Yeon.
Park pada mulanya memuat naik gambar Kim yang sudah siap disolek olehnya beserta kapsyen, “Yang ini merupakan sangat cantik. Setiap inci di wajahnya tidak pernah lakukan pembedahan plastik dan ia terbukti dengan hidungnya yang sedikit senget dan semulajadi. Selepas disolek, lagi terserlah kecantikan Kim.”
Kebanyakan peminat Kim kemudiannya tampil mengkritik pendapat Park yang dikatakan memalukan Kim.
Namun tidak kurang juga melihat kapsyen itu dari sudut positif dan menyifatkan ia adalah kata-kata pujian Park terhadap Kim yang tidak pernah melakukan pembedahan plastik seperti mana yang sudah menjadi budaya di kalangan selebriti Korea Selatan.
Susulan itu, Park kemudiannya memohon maaf di atas keterlanjuran katanya dan tidak menyangka kata-kata pujiannya telah disalah tafsir segelintir netizen.
“Saya baca setiap komen anda. Sebagai seorang jurusolek, saya tidak menyedari kata-kata pujian yang saya berikan telah menimbulkan rasa kurang senang sesetengah orang. Saya minta maaf dan akan lebih berhati-hati dengan tindakan saya selepas ini,” tulisnya di Instagram. – KopiPlanet.com