Cerita ArtisHiburan

Ramli Sarip Pernah Tolak Ajakan Berduet Daripada Penyanyi BBNU

Penyanyi lagenda, Datuk Ramli Sarip menyatakan dia pernah menerima pelawaan untuk berduet daripada penyanyi-penyanyi baharu yang terkenal dengan jolokan Budak Baru Nak Up (BBNU).

Walau bagaimanapun, Ramli, 66, terpaksa menolak dengan baik beberapa jemputan itu kerana merasakan lagu-lagu tersebut tidak sesuai untuk dinyanyikan olehnya.

“Sebenarnya saya ada menerima beberapa tawaran untuk berduet dengan penyanyi BBNU tetapi lagu yang diberikan itu tidak sesuai.

“Saya bersedia untuk berduet dengan penyanyi baru ini tapi biarlah lagu yang diberikan itu sesuai dan tidak hanya menampakkan seorang penyanyi sahaja yang menyerlah.

“Memang saya kena memilih lagu yang sesuai serta dengar dahulu lagu tersebut dan jika tidak sesuai saya akan meminta penyanyi itu untuk berduet dengan penyanyi lain,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ramli ditemui pada majlis sidang media Konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Loka Nu Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Teratai itu turut berpesan kepada penyanyi generasi baru agar tidak segan dan malu untuk menyanyikan lagu berunsur puisi kerana ia menggambarkan susur galur masyarakat Melayu.

“Saya cuma mahu berpesan kepada mereka jangan berasa malu untuk mencuba genre baru seperti puisi dalam karya-karya mereka,” ujarnya yang sebelum ini pernah bekerjasama membuat persembahan pentas bersama penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Hazama.

Sementara itu, menjelang konsert yang bakal diadakan pada 6 Oktober ini, Ramli berkata, beliau dan rakan gandingannya, Datuk Khatijah Ibrahim akan mencetuskan momen terindah bagi penonton yang hadir menyaksikan konsert ini di Istana Budaya nanti.

“Antara lagu yang akan kami persembahkan nanti ialah lagu-lagu yang telah tersimpan selama 30 tahun tetapi tidak dapat dipersembahkan kepada khalayak sebelum ini. Saya dan Khatijah akan berduet dan ia akan disampaikan dengan perasaan dan jiwa penuh kemelayuan,” katanya lagi.

Tiket konsert berharga RM400, RM350, RM250, RM200, RM150, RM100 sudah mula dijual melalui www.ilassotickets.com.

Selain konsert di KL, pasangan duet popular ini turut akan menghiburkan peminat di Esplanade Singapura pada 17 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button