
Penyanyi Perlu Profesional, Hattan Tak Kisah Menyanyi Di Majlis Politik
Bakal menghiburkan peminat menerusi Konsert Picnic@PD yang akan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini, penyanyi Datuk Hattan menyifatkan seseorang selebriti itu perlu profesional dan tidak sepatutnya mencampur adukkan kerjaya mereka dengan parti politik.
Konsert Picnic@PD yang dianjurkan Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani (Madani), Anwar Ibrahim Club (AIC) dan Muafakat Anak Muda itu akan turut disertai oleh Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ito Blues Gang, Blank Gamma, Khalifah Band dan Wany Hasrita.
“Saya tak campur soal politik. Asalkan dijemput dan dibayar dengan setimpal, saya tidak akan menolak permintaan untuk mengadakan persembahan daripada mana-mana pihak termasuk daripada badan-badan politik.
“Kita sebagai artis tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya perlu jadi profesional sebab tugas kita menghiburkan orang,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Hattan ditemui pada majlis sidang media Konsert Picnic@PD yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi konsert itu nanti, persembahan Hattan akan diiringi oleh pemuzik berpengalaman bagi memberikan satu kepuasan buat peminat yang hadir.
Sementara itu, Presiden Madani, Arif Imran berkata konsert dua hari itu akan menghimpunkan pelbagai aktiviti selain ingin mengumpul dana bagi Tabung Wira Cilik Malaysia.
“Penganjuran karnival dua hari ini turut diisi dengan aktiviti zumba dan pemeriksaan kesihatan secara percuma pada waktu pagi dan kemuncaknya, malam itu akan diadakan konsert selama dua hari berturut-turut.
“Pihak kami juga akan melancarkan Tabung Wira Cilik Malaysia bagi membantu khususnya anak-anak Angkatan Tentera Malaysia.
“Pada hari pertama, program akan bermula pada malam hari dengan tema Malam Hijrah bersama selebriti yang sudah berhijrah dengan imej baharu seperti Shamsul Ghau Ghau, Zul Handyblack, Iwan Dangdut dan Dr Sam.
“Program kemuncak sudah tentunya pada malam 6 Oktober iaitu Konsert Picnic@PD yang menampilkan penyanyi terkemuka tanah air seperti Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Datuk Hattan, Ito, Blank Gamma, Khalifah Band dan Wany Hasrita,” katanya. – KopiPlanet.com