
Semakin meniti populariti, kumpulan Indonesia Sabyan Gambus bakal mengadakan persembahan di Malaysia pada 12 Januari hadapan.
Sabyan Gambus mula dikenali selepas lagu saduran Deen As Salam yang dinyanyikan mereka mendapat perhatian di Youtube apabila mencecah sebanyak 161 juta jumlah tontonan.
Konsert Sabyan Gambus Live in Malaysia 2019 yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam dianjurkan oleh MMH Laguna Sdn. Bhd.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Hariz Harun, populariti kumpulan itu yang semakin mendapat tempat di kalangan pendengar tempatan merupakan intipati utama kenapa mereka berani mengetengahkan bakat baharu itu di Malaysia.
“Ini merupakan konsert pertama berskala besar yang kami anjurkan, sebelum ini kami hanya uruskan acara pentas berskala sederhana. InsyaAllah kami akan bekerja kuat bagi memastikan Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Konsert yang akan berlangsung selama tiga jam itu turut menampilkan artis nasyid tempatan seperti UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sebagai artis pembukaan,” katanya.
Sabyan Gambus yang mula ditubuhkan pada 2015 dianggotai enam orang ahli iaitu Nissa, Ayus, Wawan, Kamal, Tebe dan Anisa.
Selain popular dengan lagu saduran Deen As Salam, mereka turut dikenali dengan lagu seperti Ya Habibal Qolbi, Rohman Ya Rohman dan Ya Asyiqol.
Selain konsert, penganjur turut mengadakan Karnival Geng Sabyan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 11 hingga 13 Januari 2019.
Pelbagai acara sampingan dan jualan gerai akan diadakan di lokasi yang sama dengan tapak konsert pada hari tersebut.
Setiap pembelian awal tiket, peminat menerima diskaun sebanyak RM100 serta berpeluang menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah berupa Iphone XS. Harga tiket dijual bermula daripada RM99 hingga RM999. Tiket-tiket boleh dibeli secara atas talian dengan melayari laman web www.ticket2u.com. – KopiPlanet.com