Setelah lebih setahun bekerjasama menjalankan perniagaan bersama, empat adik-beradik selebriti The Melvins menjawab khabar angin yang mengatakan mereka kini bergelar jutawan muda.
Syatilla, Syifa, Syida dan Syafiqa Melvin yang mengusahakan produk kosmetik jenama Kekasih by The Melvins mempunyai jawapan tersendiri untuk menjawab dakwaan terbabit.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, semua yang kami perolehi adalah hasil usaha sendiri dan rezeki pemberian-Nya. Kami juga beruntung kerana mempunyai pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Apapun, kami rasakan masih banyak perkara yang perlu kami belajar dalam bidang perniagaan ini. Lebih penting, kami gembira kerana apa yang kami usahakan mendapat respon positif peminat yang menjadi pelanggan.
“Keutamaan kami dalam perniagaan ini adalah untuk berkongsi rezeki dengan yang lain,” kata Syifa mewakili The Melvins.
Syifa ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik terbaharu Kekasih by The Melvins, maskara Hijab Mata di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.
Pada majlis sama, The Melvins turut melancarkan 60 papan iklan di seluruh negara bagi produk kecantikan itu yang menelan belanja lebih RM500,000.
> Baca: Kiriman Agung Hadiah Fattah Amin Untuk Bakal Cahaya Mata
Tambah Syifa lagi, dia bersyukur dikurniakan adik-beradik yang sangat positif dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan perniagaan sehingga meraih keuntungan berlipat ganda.
“Tanpa sokongan adik-beradik lain mungkin Kekasih by The Melvins tidak akan sampai ke tahap ini. Saya harus memberikan kredit kepada ketiga-tiga cinta hati saya yang sentiasa berusaha dan mempunyai semangat untuk berjaya.
“Mungkin salah satu rahsia kejayaan kami adalah menjaga hubungan baik antara adik-beradik. Kami tak gaduh, tak masam muka, tak cemburu apatah lagi berkira pasal duit.
“Ibu dan ayah selalu pesan apapun yang terjadi adik-beradik tak boleh berpecah. Masing-masing kena ambil tanggunjgawab untuk membantu dan saling menyayangi. Alhamdulillah tak sangka rezeki Allah nak bagi dalam sekelip mata,” katanya.
Kekasih by The Melvins menawarkan beberapa pilihan produk kecantikan seperti krim bedak asas, matte bibir, pembayang mata dan blusher. – KopiPlanet.com