Adik perempuan kepada pelawak Achey iaitu Nornatasha Hamzah, 25, terpilih salah seorang daripada 14 peserta program baharu pencarian pelawak terbitan Astro iaitu Gegar Lawak.
Menurut Nornatasha atau Tasha, dia memang sudah lama menyimpan impian untuk menceburi bidang seni sekali gus mengikut jejak langkah abangnya, Achey atau nama sebenarnya Muhammad Nasir Hamzah.
“Saya memang simpan impian dah lama nak masuk dalam industri hiburan. Sebelum ini banyak ujibakat saya pergi termasuk Akademi Fantasia tapi semua tiada rezeki.
“Akhirnya, rezeki saya di sini setelah terpilih sebagai peserta Gegar Lawak. Saya harap dengan penyertaan saya ia dapat memeriahkan lagi industri memandangkan Malaysia kekurangan pelawak wanita,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Gegar Lawak di Comedy Planet, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Tasha, Achey sentiasa memberikan sokongan dan dorongan terhadapnya malah sering memberikan nasihat mengenai selok-belok dunia hiburan terhadap dirinya.
Malah, Tasha turut menambah dia langsung tidak mengunakan nama abangnya dalam mana-mana ujibakat yang pernah dihadiri kerana ingin dikenali di atas bakat dan usahanya sendiri.
“Achey memang memberikan sepenuh sokongan terhadap penglibatan saya dalam program ini. Dia pesan saya cuba berjaya dengan usaha sendiri, jangan berdiri atas bayang dia.
“Achey juga banyak memberikan tips-tips bagi meningkatkan lagi keyakinan saya di atas pentas sebab saya seorang yang agak pemalu sebenarnya,” katanya lagi.
Bagi memastikan fokusnya terhadap pertandingan ini, Tasha seorang kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Labis, Johor telah mengambil cuti daripada majikannya sepanjang program ini berlangsung.
Selain Tasha, Gegar Lawak turut diserikan dengan seorang lagi peserta wanita iaitu Nik Nur Amira Syahira Nik Zaini atau Eyya, 26, yang berasal dari Sabah.
Enam lagi peserta solo adalah Mohamad Hezrie Salim, Padil, Abe, Ayim, Rizal dan Bayu dari Indonesia, manakala peserta duo disertai oleh Testo (Agoq, Ajek), 2B (Man, Weera), Candy (Faizzal, Nazzry) dan Sogeh (Izwan, Muflih).
Kumpulan Kiut (Hanafi, Zam, Tapai) dan Abata (Alham, Mus, Halim) pula tampil sebagai peserta trio.
Gegar Lawak yang bakal memulakan siaran pada 19 Januari ini, jam 10 malam akan dihoskan oleh Kamal Adli dan Fad Bocey. Ia disiarkan di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (134).
Setiap minggu peserta akan diadili oleh dua juri tetap dan seorang juri jemputan. Juri tetap terdiri daripada Douglas Lim dan seorang lagi hanya akan didedahkan pada minggu pertama Gegar Lawak.
Format pemarkahan adalah 70 peratus daripada juri manakala 30 peratus daripada undian penonton. – KopiPlanet.com