
Aiman Hakim Dan Zahirah Macwilson Bakal Disatukan Pada Februari 2020
Pelakon Aiman Hakim Ridza dan tunangnya, aktres Zahirah Macwilson sepakat memilih hujung bulan Februari 2020 sebagai hari pernikahan mereka.
Pengumuman itu dibuat Aiman, 30, dan Zahirah, 24, ketika ditemui pada majlis pelancaran kafe milik mereka, Bakerfellas di Ara Damansara hari ini.
Pasangan sama cantik sama padan itu juga akan mengadakan satu majlis resepsi sahaja bagi meraikan hari bahagia mereka.
“Setakat ini kami tiada tarikh spesifik boleh diberikan sebab masih dalam perancangan, tetapi yang pasti ia akan berlangsung pada hujung bulan Februari tahun hadapan.
“Kami akan adakan satu majlis resepsi sahaja untuk kedua-dua belah pihak sekaligus iaitu Kuala Lumpur dan tarikh yang muktamad adalah bergantung kepada kelapangan tarikh di lokasi majlis,” kata Aiman kepada KopiPlanet.com.
Menceritakan lamarannya, Aiman berkata dia melamar Zahirah ketika mereka sedang menjamu selera di restoran mamak pada November tahun lalu yang mana ia merupakan pertemuan kali ketiga mereka.
“Saya tak pernah jumpa seorang wanita yang sangat lemah lembut dan bijak dalam berbicara. Setiap hari ada sahaja sifat dia yang mengujakan saya dan semuanya yang tidak boleh dijangkakan.
“Sifat-sifat dia banyak beri saya inspirasi untuk terus berjaya. Kalau saya lambat bertindak (melamar), saya rasa saya tidak akan jumpa lagi gadis yang penyabar dan bijak seperti Zahirah,” kata Aiman.
Sementara itu, Zahirah melahirkan keterujaan apabila akhirnya jejaka yang pernah menjadi ‘crush’ nya bakal bergelar suaminya dalam masa beberapa bulan lagi.
“Saya ‘crush’ dengan Aiman sebab dia seorang yang misteri dan jarang datang dalam majlis-majlis hiburan, itu yang buat saya tertarik dengan dia. Selain itu, dengan dia juga saya boleh berbicara semua benda. Kami boleh berborak apa sahaja isu seperti agama, bisnes, teknik lakonan dan sebagainya.
“Buat peminat yang sentiasa mendoakan kami, terima kasih kami ucapkan. Doakan majlis kami berjalan lancar,” ujar Zahirah.
Pasangan ini bertunang pada 8 Jun lalu di kediaman keluarga Zahirah di Perth, Australia. – KopiPlanet.com