
Aishah Beri Masa DSV Tempoh Seminggu Penuhi Dua Tuntutan
Penyanyi Aishah memberi tempoh selama tujuh hari kepada Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV) untuk memenuhi dua tuntutan yang dibuat menerusi peguamnya.
Peguam Aishah, Mohammad Izwan Azmi berkata, pihaknya telah dilantik oleh Aishah selaku peguamcara dalam pertikaian di antara anak guamnya dan DSV berkenaan isu tuntutan hadiah berlian selepas menjuarai sebuah pertandingan nyanyian, Gegar Vaganza Musim Ke-4.
“Anak guam kami menuntut seutas rantai berlian asli dengan nilai setara dengan RM80,000 seperti direpresentasikan dan dihebohkan oleh DSV.
“Permohonan maaf secara terbuka kepada anak guam kami atas representasi salah yang telah dibuat dan dihebohkan berkenaan dengan rantai berlian tersebut,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang akhbar khas yang dibuat oleh Aishah pada pagi ini.
Menurutnya, tempoh tujuh hari bermula tarikh 5 Oktober 2018 diberikan untuk pihak DSV menjawab dan mematuhi tuntutan sepertimana dinyatakan dalam surat tuntutan tersebut.
“Kami dengan tegas menasihati agar pihak DSV akan mematuhi tuntutan tersebut sepertimana dinyatakan dalam surat tuntutan dan mengelakkan sebarang tindakan mahkamah diambil terhadap beliau,” tegasnya.
Sementara itu, Aishah dalam sidang akhbar berkenaan memberitahu bahawa dia mengambil tindakan tersebut agar ia menjadi teladan kepada artis-artis lain supaya perkara sama dapat dielakkan.
Aishah berkata, ia juga dapat menjadi contoh agar artis-artis untuk berani bersuara mengenai hak-hak mereka.
“Selain itu, apa yang saya harapakan semoga satu keadilan dapat ditegakkan dan ia tidak akan terjadi kepada artis lain,” ujarnya. – KopiPlanet.com