
Ajak Shiro, Janna Nick Gandingan Baharu Hos Melodi
Pelakon dan penyanyi Janna Nick serta pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro diumumkan sebagai hos baharu program hiburan Melodi.
Menerusi kenyataan media, pasangan pengacara itu akan memulakan siaran pertama mereka Ahad ini (7 Januari).
Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Puan Zurina Othman, mereka berdua merupakan pilihan tepat bagi mengacarakan program tersebut bagi menggantikan dua hos terdahulu iaitu Awal Ashaari dan AG Azmeer.
“Untuk memastikan Melodi sentiasa mendapat sentuhan baharu dengan perkembangan trend terkini, kami yakin Janna Nick yang namanya semakin melonjak naik mampu menarik lebih ramai penonton muda. Manakala Ajak pula mempunyai potensi dalam bidang pengacaraan dan kami enggan melepaskan peluang keemasan ini untuk bekerjasama dengan selebriti yang versatil ini,” katanya.
Antara selebriti yang pernah mengacarakan Melodi adalah seperti Ogy Ahmad Daud, Saiful Apek, Wahid dan Zizan Razak.
Awal dan AG sebelum ini telah mengumumkan pengundurannya daripada Melodi selepas enam tahun menggalas tugas sebagai hos program itu yang bersiaran secara langsung setiap Ahad jam 12.30 tengah hari. – KopiPlanet.com