Cerita ArtisHiburan

Akim & Stacy Kembali Berkolaborasi, Mahu Teruskan Momentum Menerusi Single Baharu Ritma Dan Rima

Meskipun mempunyai latar belakang genre muzik yang berbeza, ia bukan halangan buat pasangan selebriti Akim dan Stacy untuk kembali berkolaborasi dengan single baharu berjudul Ritma dan Rima.

Setelah mencapai kejayaan menerusi lagu Aku Kau Dan Muzik, pasangan penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu mahu meneruskan magis dalam lagu duet kedua mereka yang dicerna sehabis baik demi memenuhi selera pendengar.

Lagu sentuhan Hang Nadim dan Bunga Cantik menceritakan interaksi antara Akim dan Stacy dengan alam semesta yang juga berkongsi rentak sama. Manakala, penyusunan muzik pula oleh Freddy.

Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Syaikhah Stacy Anam, berkata, lagu Ritma Dan Ritma itu cukup istimewa kerana dihasilkan dari hati, selain melalui proses rakaman yang sangat teliti.

“Idea tercetus apabila saya mendapat inspirasi melodi korus lagu ini dan kemudian menggarap ilhan bersama Akim. Manakala, Freddy pula berperanan sebagai ‘arranger, lagu ini.

“Selepas tampil dengan lagu Aku Kau Dan Muzik, kami memang merancang untuk meneruskan momentum magis yang dicipta menerusi duet pertama kami dan akhirnya bertemu arah tuju bahawa muzik yang menyatukan berbezaan kami.

“Lagu ini bercerita mengenai komunikasi kami dengan alam semesta yang mana liriknya menghubung kait dengan fauna, flora, awan dan semua hidupan yang bergerak mengikut rentak serta irama.

“Kelebihan lagu ini kerana alunan setiap bait melodi mengikut tempo dan ritma alam sekali gus menyuntik elemen segar yang mendorong kita agar lebih menghargai hidupan di sekeliling,” kata Stacy.

Lebih bermakna apabila karya yang dihasilkan dengan sepenuh jiwa itu juga diterbitkan syarikat mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R Entertainment).

Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad pula berkata, dia dan Stacy tidak menjangka penghasilan lagu berkenaan lebih mendalam, sekali gus memberikan nuansa baharu dalam jalur muzik mereka.

Bercerita mengenai muzik video yang menjalani penggambaran di Sik, Kedah sekitar penghujung 2023, Akim bersyukur segala perancangan berjalan lancar biarpun melalui fasa sulit.

“Stacy ternampak lokasi penggambaran muzik video ini di Tik Tok yang mana bertepatan dengan konsep dan lirik lagu ini. Perjalanan ke Sik, Kedah mengambil masa enam jam dan hendak mendaki kawasan itu pula sekitar sejam.

“Seawal jam 6 pagi lagi kami sudah berada di lokasi kerana ingin merakamkan momen matahari sedang terbit. Anak-anak pun turut serta dan melihat bagaimana kami bekerja.

“Malah, pengalaman hendak sampai ke puncak pun bukan mudah namun hasilnya sangat memuaskan hati.

“Oleh itu saya berharap lagu dan muzik video ini diterima ramai. Saya juga bersyukur dengan sokongan tanpa henti peminat buat kami berdua,” kata Stacy.

Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret mengakui kolaborasi ini membuatkan mereka semakin selesa bekerjasama sebagai pasangan komposer.

“Sejujurnya, keserasian menggandakan keselesaan untuk bekerjasama dengan lebih kerap lagi untuk projek seterusnya apatah lagi kami dapat meluangkan masa bersama.

“Proses buat lagu juga bukan mudah, memerlukan masa untuk mendapatkan idea. Jadi, ada ketika kami akan bercuti dan berkaraoke mencari inspirasi. Apabila dapat idea, kami akan bergabung,” katanya.

Single Ritma Dan Rima boleh didengar dan dilanggan di platform digital muzik, manakala lirik video rasmi lagu boleh ditonton di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.

Dalam pada itu, muzik video lagu itu juga sudah mencatatkan 67,000 tontonan sejak dilancarkan 18 Januari lalu.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button