FilemTerkini

Aksi Melatah Yang Sinonim Dengan Masyarakat Malaysia Kini Diangkat Menerusi Filem Kampung Latah Kena Kuarantin

Apa terjadi apabila terdapat satu-satunya kampung dalam dunia yang dipenuhi dengan penduduk yang ‘melatah’ dan turut menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana keunikan serta adat resam dan budaya Melayu yang masih kekal diwarisi.

Itu merupakan kelainan yang cuba dibawa oleh Astro Shaw yang tampil dengan sebuah filem komedi gamat dengan celoteh lucu yang menjanjikan gelak tawa berterusan iaitu Kampung Latah Kena Kuarantin.

Filem terbitan produksi MEGAPINE (M) tersebut menyaksikan ia karya pertama yang mengetengahkan gelagat melatah sebagai subjek kepada latar cerita serta menghimpunkan nama-nama selebriti cukup terkenal dengan latah spontannya dan lebih menarik ia tidak pernah disaksikan dalam mana-mana filem sebelum ini.

Penerbitnya, Hazil Izham Ismail melahirkan rasa teruja apabila filem terbitan produksinya bakal menemui penonton dengan menawarkan naratif berbeza bagi menepati cita rasa penonton.

“Idea menghasilkan Kampung Latah Kena Kuarantin ini hadir apabila menyedari aksi melatah amat dekat dengan masyarakat Malaysia. Aksi tersebut banyak menarik perhatian umum sehingga mewujudkan kelompok peminat tersendiri.

“Kami harap jalan cerita yang santai dan digabungkan dengan suasana gamat oleh barisan pelakon, mampu menghiburkan penonton seisi keluarga,” jelasnya.

Filem ini mengisahkan tentang Kampung Latah Permai, sebuah kampung yang unik dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana ia satu-satunya lokasi di dunia yang mempunyai kadar penduduk ‘melatah’ yang ramai. 

Ajin (Azhan Rani) merupakan ketua pemandu pelancong untuk syarikat Latah Permai Travel & Tours, bersama rakan kongsinya, Jamilah (Nazia Mustafar), Eton (Ieda Moin) dan Din (PS Mansur). Gelagat mereka sering menceriakan penduduk kampung dan juga pelancong.

Dalam pada itu, Ajin menaruh perasaan terhadap Juanita (Elisya Sandha). Tetapi Apoi (Joey Daud) telah dahulu menghantar rombongan meminang Juanita dengan mengikut adat resam dan budaya melayu, namun pinangan Apoi ditolak.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Kampung Latah Kena Kuarantin menampilkan jalan cerita segar dan padat dengan babak komedi serta memaparkan nilai budaya dan adat resam masyarakat Melayu, seperti contoh berpantun, meminang, muzik, kepercayaan dan banyak lagi.

“Ini sedikit sebanyak mampu mengajak penonton untuk sentiasa menghargai dan berbangga dengan budaya kita. Jika sebelum ini gelagat latah banyak diketengahkan menerusi program-program televisyen popular seperti Punchline DAC, Opocot Melatah dan beberapa drama komedi, namum kali ini penonton dapat menyaksikan pula celoteh mencuit hati tersebut menerusi filem di platform Astro First.

“Ini merupakan salah satu usaha Astro dalam menyediakan variasi kandungan kepada penontonnya. Kami harap kehadiran filem ini mampu menyajikan penonton dengan pengisian menarik dan dapat membawa keluar seketika daripada tekanan dengan bergelak tawa menerusi hiburannya,” ujarnya.

Saksikan filem komedi, Kampung Latah Kena Kuarantin yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 9 September 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button