Cerita ArtisHiburan

Aku Kau Dan Muzik Magis Tersendiri Duet Akim Dan Stacy

Biarpun berbeza aliran dan fahaman muzik, ternyata gandingan suami isteri iaitu Stacy dan Akim berjaya menempatkan diri bukan saja sebagai pasangan duet serasi sekali gus mencipta magis tersendiri.

Hal ini dibuktikan menerusi single duet mereka, Aku Kau Dan Muzik yang mendapat sambutan luar biasa sejak ia dilancarkan pada 14 Februari lalu.

Stacy, 30, atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam berkata, lagu itu dianggap cukup istimewa kerana dihasilkan dari dalam hati selain proses yang teliti.

“Lagu ini sudah lama disiapkan iaitu sejak Ogos tahun lalu. Tapi, disebabkan kami terbabit dalam program Mentor 2019, jadi projek ini tertangguh. Awal tahun ini baru kami ada kelapangan untuk memulakan proses rakaman. Melodi siap dulu dan baru saya tulis lirik.

“Selepas itu, baru dapat tajuk dan kami sepakat pilih tajuk ini. Tidak dijangka pula, melodi dan lirik kena dengan kami yang mana bertemu dalam bidang ini. Lagu ini dihasilkan ikhlas dari dalam diri kami yang mana ekspresi kami sebagai suami isteri. Disebabkan itu, kami cukup teliti dari semua sudut termasuk rentak, melodi dan muzik,” katanya.

Lagu hasil ciptaan Hang Nadim, Bunga Cantik yang juga Akim dan Stacy dan Freddy itu secara keseluruhan menceritakan kisah kedua mereka yang berjuang dalam aliran sama dan kemudian mendirikan rumah tangga atas nama cinta.

Menariknya, lagu tersebut juga adalah terbitan sulung dan sepenuhnya syarikat mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R Entertainment).

Sementara itu, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad mengakui, dia dan Stacy tidak menjangka penghasilan lagu itu lebih mendalam sekali gus memberikan warna baru dalam muzik mereka.

“Apabila lagu ini siap sepenuhnya, saya menganggap ia magis. Memang tidak menjangka sama sekali hasilnya boleh pergi sedalam ini. Mungkin ini berkat kerjasama kami dan Freddy yang bersama-sama ‘monitor’ proses penghasilan lagu ini dari awal sampai habis.

“Apa yang diinginkan dalam lagu dapat dipersembahkan. Sejujurnya, gabungan saya dan Stacy dalam bidang bidang penulisan lagu ini adalah saling melengkapi. Saya akan bertanya dan meminta pandangan daripadanya. Apa yang dirasakan kurang dia akan tambah,” katanya.

Disebabkan itu, Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret mengakui semakin selesa bekerjasama dengan isterinya sebagai pasangan komposer.

“Sejujurnya, kami selesa bekerjasama. Apatah lagi, sekarang kami banyak luangkan masa bersama. Proses nak buat lagu bukan mudah. Perlukan masa untuk mendapatkan idea.

“Jadi, ada ketika kami akan bercuti dan berkaraoke bersama untuk mencari inspirasi. Apabila masing-masing dapat idea, kami akan gabungkan,” katanya.

Single Aku Kau Dan Muzik itu sudah boleh didengar dan dilanggan di semua platform digital muzik. Lirik video rasmi lagu itu juga boleh ditonton di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment. Dalam tempoh dua minggu sudah mencatatkan lebih 500,000 tontonan.

Selain sibuk dengan projek lagu sendiri, Stacy dan Akim juga dalam proses menerbitkan lagu untuk beberapa penyanyi di bawah syarikat mereka. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button