
Akur Komitmen Kerja, Prisia Nasution Tangguh Hasrat Timang Anak
Memasuki tahun ketiga perkahwinan, pelakon Prisia Nasution menyatakan hasratnya untuk menimang cahaya mata namun dia terpaksa melupakan sebentar perkara itu kerana terikat dengan komitmen kerja.
Menurut Prisia, dia dan suami, Iedilputra merancang untuk membesarkan keluarga pada tahun hadapan bagi memeriahkan dan menceriakan kehidupan mereka berdua.
“Saya ada beberapa kontrak (kerja) yang mana menuntut saya tidak boleh mempunyai anak dahulu. Mungkin tahun hadapan kami akan mencuba. Buat masa ini memang kami merancang untuk tidak mempunyai anak dahulu,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem televisyen (FTV) Timun Mas & Ijo yang berlangsung di TGV One Utama, Damansara baru-baru ini.
Selain Prisia, FTV arahan Shamyl Othman itu turut dibintangi Fasha Sandha, Fikry Kiki, Thalia Ivanka dan Kishok Kumar. Ia bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif (saluran 480) dan platform digital On Demand bermula 1 Ogos ini.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai karier seni suaminya yang semakin berkembang di Indonesia, Prisia berkata dia tidak ada masalah dengan perkara itu malah turut mendoakan bakat Iedilputra terus mekar di negara kelahirannya itu.
“Saya gembira dia semakin dikenali di Indonesia, kalau nak tahu semua filem Indonesia yang dia berlakon mendapat kutipan pecah panggung di sana. Saya tidak kisah sekiranya dia lebih popular daripada saya di sana malah saya sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya.
“Malah, kami tiada masalah dan dia tidak perlu minta keizinan daripada saya dan begitu juga sebaliknya jika mendapat mana-mana tawaran lakonan, sebab kami kenal pun ketika sudah bergelar pelakon. Kami beri kebebasan pada satu sama lain,” katanya lagi.
Prisia dan Iedilputra berkenalan ketika membintangi filem Interchange dan pasangan itu kemudiannya mendirikan rumah tangga pada 1 Jun 2016. – KopiPlanet.com