Cerita ArtisHiburan

Aliff Iskandar Luah Rasa Syukur Single Sulungnya, Perit Dapat Sambutan Baik Peminat

Pendatang baharu yang semakin meningkat naik, Aliff Iskandar tidak menyangka single sulungnya berjudul Perit mendapat sambutan baik daripada peminat-peminat.

Ujar Aliff, apa yang lebih istimewa apabila lagu berkenaan turut berpeluang untuk didengari menerusi beberapa buah drama popular termasuk menjadi runit bunyi (OST).

“Saya ingin berterima kasih terutama sekali kepada peminat kerana memberikan sokongan kepada lagu ini.

“Saya tidak sangka, sejak dilancarkan tiga bulan yang lalu, Perit benar-benar diterima baik daripada peminat. Orang pun makin kenal dengan lagu ini,” kata penyanyi berkenaan.

Ujarnya, selain menjadi lagu OST untuk drama Perempuan Tanpa Dosa, lagu berkenaan juga boleh didengari dalam beberapa drama lain seperti Angkara Cinta, Bouganvilla dan terbaru, Rahimah Tanpa Rahim.

Jelas penyanyi itu lagi, antara faktor lagu berkenaan mendapat sambutan apabila dijadikan ‘lagu tema’ bagi mereka yang putus cinta, dicurangi dan berhadapan dengan apa sahaja masalah perhubungan.

“Apabila lirik tersebut dekat dengan pendengar sudah pasti mereka mudah menerimanya. Ada yang bagaikan pernah berhadapan dengan situasi tersebut dan tak kurang juga yang meninggalkan pelbagai komen tentang pengalaman mereka dalam video muzik berkenaan.

“Sudah tentu saya baca setiap komen yang mereka titipkan. Macam-macam kisah dan pengalaman dikongsikan. Mana yang tragis tu, saya bersimpati sangat-sangat,” jelasnya.

Pada masa sama, Aliff bersyukur kerana karyanya itu diterima baik oleh beberapa pihak yang percaya kepada bakat penciptaan lagunya. Dia yang sudah menghasilkan beberapa lagu lain juga gembira apabila ada pihak yang mahukan karyanya.

Semua itu berlaku apabila penyanyi kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mula menyanyikan lagu baharunya semasa sedang bersiaran langsung menerusi Instagram miliknya. Beberapa pihak sudah mula merisik dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan karya baharunya itu.

“Memang ada beberapa pihak yang sudah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya termasuklah mengasilkan runut bunyi dan sebagainya. Sudah pasti sebagai seorang pencipta baharu, saya amat hargainya.

“Bila ada yang percaya kepada hasil karya saya, tiada apa kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Semoga apa yang dirancang akan tertunai sedikit masa lagi,” kata bakal guru yang kini sedang menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur ini lagi.

Menariknya bukan sahaja beberapa syarikat produksi menyatakan hasrat untuk bekerjasama tetapi juga beberapa artis popular turut menyatakan minat mendapatkan karya baru Aliff.

“Setakat ini semuanya masih dalam perancangan. Andai kata semuanya berjalan lancer seperti yang dirancang, saya akan kongsikan kepada semua,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button