“Allah Saja Yang Tahu Hubungan Saya Dengan Farid”- Sofi Jikan
Pelakon Sofi Jikan yang dibebaskan mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut mengenai laporan polis yang dibuat rakan baiknya, Datuk Farid Kamil, sebaliknya menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian daripada Allah.
Menurut pelakon berkenaan, mengenai hubungannya dengan Farid selepas ini, dia berkata biar Allah sahaja yang mengetahui perkara itu.
“Alhamdulillah, selepas tiga hari ditahan saya dibebaskan, saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah kepada hambaNya yang lemah.
“Hubungan saya dengan Farid? Biarlah Allah sahaja yang tahu,” katanya ringkas kepada pihak media sebaik dibebaskan di Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (IPPD) Petaling Jaya, hari ini.
Sofi kemudiannya sempat membuat kenyataan, “lu rembat wa, wa rembat lu” ketika menuju ke lif, namun tidak diketahui kepada siapa mesej itu ditujukan.
Sementara itu, peguam Sofi, Datuk Hanif Hassan berkata, pelakon itu memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang tiga hari dia ditahan reman.
Terdahulu, Sofi diberkas ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara pada Selalu lalu susulan laporan polis dibuat Farid Kamil pada 31 Januari lalu.
Dalam laporan tersebut, Farid mendedahkan tiga rakan artis yang didakwa meletakkan dadah dalam rokok dan minumannya sebelum dia ditahan pihak polis pada 11 Januari lalu.
Dua lagi rakan artis itu dipercayai seorang penyanyi nasyid dan ahli kumpulan R&B popular tahun 90-an yang sehingga kini masih belum tampil memberikan keterangan kepada pihak polis.
Dalam pada itu, Sofi hari ini dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari ditahan reman setelah didapati positif dadah jenis ganja.
Pelakon itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPPD Petaling Jaya pada jam 10.15 pagi pada hari Rabu lalu.
Sofi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.
Terdahulu, Sofi tampil di Balai Polis Mutiara Damansara selepas namanya dikaitkan sebagai salah seorang daripada tiga individu yang didakwa meletakkan dadah dalam minuman dan rokok aktor Datuk Farid Kamil.
Farid membuat laporan polis pada 31 Januari lalu yang turut mengaitkan dua individu lain iaitu seorang penyanyi nasyid dan penyanyi berkumpulan R&B popular tahun 90-an. – KopiPlanet.com