
Altimet Sebak Di Hari Persaraan & Sambutan Hari Lahir Ke-40
Penyanyi Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya sebaik membuat pengumuman rasmi yang dirinya sudah bersara daripada dunia nyanyian rapping bermula hari ini.
Majlis meraikan persaraannya diadakan di General Space, Petaling Jaya, hari ini dan ia turut diselitkan dengan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-40.
“Ini adalah keputusan saya sendiri dan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak. Ada juga rasa sedih tapi rasa puas hati itu lebih banyak menyelebunggi saya. Ia ibarat saya dah habiskan satu larian marathon dalam perjalanan seni saya sebagai seorang rapper dan penyanyi.
“Masyarakat kita bila bercakap fasal bersara mereka fikir sebab sudah berusia, penat, kecewa dan kebuntuan idea serta sendu. Namun, tidak ada satu pun faktor yang disebut ini punca saya berhenti menyanyi. Sebaliknya, saya memang sudah nekad,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Pada majlis itu juga, Altimet telah melancarkan single terbaharunya yang berjudul Bersamamu menerusi gandingannya bersama Currley.
Mengulas mengenai titik penamatnya dalam persembahan pentas dan seorang rapper, Altimet mengakui sedih namun dia harus menghormati keputusan yang telah direncanakannya sejak 10 tahun lalu.

Walaupun terpaksa menolak lima undangan persembahan yang bernilai lebih dari puluhan ribu ringgit, Altimet tetap dengan pendiriannya ingin mengundurkan diri.
Bagaimanapun, secara berseloroh dia mengatakan hanya ibunya, Jamalah Agil sahaja yang boleh ‘meracuni’ fikirannya untuk kembali menyanyi.
“Kalau nak saya menyanyi semula, anda semua perlu tanya mak saya. Hanya dia sahaja yang boleh buat saya menyanyi semula dan itupun kalau dia suruh. Namun begitu, saya percaya mak saya pun hormat dan faham dengan keputusan saya,” jelasnya lagi.
Sehubungan dengan pengundurannya itu, Altimet telah mengeluarkan album terakhir berjudul AO yang mengandungi 13 buah lagu sebagai tanda selamat jalan daripadanya.
Manakala kemuncaknya pula Altimet akan mengadakan konsert terakhir pada bulan Februari ini, sekaligus menutup kerjaya penyanyi/rapper yang sudah digalasnya selama ini.
Pemenang persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) menerusi lagu Amboi ini turut berkongsi perancangan masa hadapannya yang akan bergiat aktif dalam penulisan lirik dan lagu.
“Selain itu, saya juga akan buka kedai gunting rambut di bawah francais Joe Barbershop, selain ada melabur dalam aplikasi pengajian Al-Quran yang dikenali sebagai Recite.
“Untuk AJL33, lagu Bunga saya akan dinyanyikan oleh pengganti yang saya pilih sendiri. Saya pilih penyanyi ini sebab dia berbakat besar dan percaya penyanyi ini akan buat persembahan yang terbaik.
“Saya tak boleh dedahkan sekarang, tunggu sahaja nanti bila iklan promo AJ L33 dah keluar, anda akan tahu siapa penyanyi itu,” katanya. – KopiPlanet.com