Cerita ArtisHiburan

Ameng Dedah Pernah Ditawarkan RM100 Menyanyi Di Sebuah Acara, Penganjur Beri Alasan PKP

Vokalis kumpulan Spring, Ameng mendedahkan bahawa dirinya pernah ditawarkan bayaran RM100 untuk menyanyi di sebuah acara.

Ameng berkata, penganjur memberikan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menawarkan bayaran serendah itu.

“Tidak dinafikan harga untuk show sekarang ini memang merudum, sehinggakan ada penganjur yang sampai tahap nak beri token RM100 untuk sebuah acara.

“Selain itu, ada juga sebuah agensi yang menganjurkan sebuah acara Annual Dinner yang gemilang, tetapi hanya tawarkan saya bayaran sebanyak RM500 sahaja dan sudah tentu ia tidak munasabah,” luahnya.

Ameng berkata demikian ketika ditemui semasa acara D’ Haja Private Hi Tea Reward Premium Stockists & Agents 2021 yang berlangsung semalam.

Ujarnya, kebanyakan penganjur sekarang ini menggunakan alasan PKP untuk menawarkan harga yang rendah kepada penyanyi kerana sudah lama tiada show yang dianjurkan.

Bagaimanapun, dia akui bahawa ada juga segelintir penyanyi yang sanggup menerima tawaran rendah sebegitu sehingga ramai penganjur mengambil kesempatan.

“Mungkin ada penyanyi yang terdesak sehingga sanggup terima sahaja memandangkan dah lama tak ada dapat tawaran buat show, manakala penganjur pula akan sangka pasti saya bersetuju kerana ada penyanyi lain yang terima sebelum ini.

“Cuma yang kurang menyenangkan apabila saya tolak, mereka akan anggap saya pula yang demand. Sedangkan bayaran yang ditawarkan itu memang tidak masuk munasabah,” tegasnya.

Mengakui agak marah dengan situasi berkenaan, Ameng menyatakan untuk bersetuju terhadap bayaran yang ditawarkan, dia perlu melihat terlebih dahulu sesebuah jenis acara itu.

“Jika acara itu untuk anak yatim atau nak kutip dana saya boleh faham, tetapi kalau buat acara yang besar dan bayaran untuk penyanyi murah memang ia sesuatu yang tidak wajar.

“Sedangkan kalau acara besar sebegitu pasti bajetnya pun besar. Jadi, takkan nak bayar murah kepada penyanyi,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan kerjaya terbaharunya, Ameng memberitahu dia bakal tampil dengan sebuah lagu khas sempena Aidilfitri tidak lama lagi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
1
+1
0
+1
1
+1
2
+1
1
+1
4

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button