
Anak-Anak Lebih Seronok Berlatih Bola Daripada Dibawa Bercuti
Pelakon Rita Rudaini berkongsi cerita mengatakan dua anak lelakinya lebih suka menjalani latihan bola sepak daripada dibawa pergi melancong ke luar negara.
Menurut Rita, anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, teruja mengikuti latihan bola sepak bersama rakan-rakan sebaya bagi mempertingkatkan skil mereka dalam sukan no.1 negara itu.
“Anak-anak sekarang menjalani latihan bola sebanyak tiga kali dalam seminggu. Ada juga ajak mereka pergi bercuti tapi masing-masing lagi suka nak bermain bola daripada bercuti.
“Bila musim cuti sekolah, saya memang tidak ambil apa-apa tawaran lakonan sebab mereka ada macam-macam aktiviti yang nak dibuat. Saya hanya akan kembali berlakon bila anak-anak dah masuk sekolah balik tahun hadapan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Rita ditemui dalam majlis pertandingan akhir Gadis Panca MyBeauty 2018 yang diadakan di ibu pejabat Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pelakon kelahiran Perlis itu juga turut merancang untuk membawa kedua-dua anaknya pergi menunaikan umrah sekiranya diberi kesempatan pada tahun hadapan.
“Kalau ada rezeki tahun hadapan saya nak bawa anak-anak pergi menunaikan umrah. Sebelum ini pernah bawa anak sulung ketika dia berusia tiga tahun dan kali ini adiknya pula akan sertai kami.
“Dia pun ada bertanya dan sekarang dah pandai solat. Saya cakap dengan mereka, doakan rezeki mummy murah tahun hadapan dan dapat pergi umrah,” katanya lagi. – KopiPlanet.com