Pengawal Peribadi Nafi Dia Bapa Kandung Anak Kylie Jenner
Selepas tersebar dakwaan yang mengatakan dia mungkin merupakan bapa kandung kepada anak perempuan Kylie Jenner, pengawal peribadi sosialit terbabit, Tim Chung tampil membidas perkara tersebut di laman Instagramnya.
Berkongsikan luahannya selepas dituduh sedemikian hanya kerana wajah anak Kylie, Stormi Webster seiras dengannya, Tim menulis, “Saya seorang yang sangat berahsia dan tidak akan membalas mana-mana komen atau cerita yang tidak masuk akal.
“Dengan penuh rasa hormat terhadap Kylie, Travis dan anak perempuan mereka, saya mahu menjelaskan yang hubungan saya dengan Kylie adalah profesional sebagai seorang majikan dan pekerja sahaja.
“Ini adalah komen balas saya yang pertama dan terakhir berhubung isu ini,” katanya.
Sebelum ini tular apabila sekeping gambar menunjukkan wajah Stormi dan Tim yang kelihatan cukup seiras sehinggakan ramai ragu-ragu adakah benar Travis merupakan bapa kandung kepada anak Kylie.
Kylie dan Travis berpacaran sejak April tahun lalu. Pasangan ini menimang cahaya mata pertama mereka pada 1 Februari lalu. – KopiPlanet.com