Anna Jobling Harap Dapat Cuba Sertai Pertandingan Miss Universe, Akui Pernah Dihubungi Penganjur
Pelakon dan model popular, Anna Jobling meluahkan harapannya untuk dapat menyertai pertandingan Miss Universe pada masa akan datang.
Dalam satu video yang dikongsi di akaun TikTok miliknya, Anna yang juga gadis kacukan Inggeris-Melayu itu menyatakan ada peminat yang bertanya kenapa dia tidak menyertai pertandingan berkenaan.
“Saya tak boleh sertai Miss Universe sebab undang-undang menyatakan wanita Muslim tidak dibenarkan untuk turut serta.
“Namun, pihak pengurusan Miss Universe Malaysia pernah hubungi saya, tetapi saya tidak boleh sertainya disebabkan undang-undang berkenaan,” ujar bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu.
Sebelum ini, bekas peserta Pertandingan Miss Universe yang mewakili Malaysia, Deborah Henry pernah meminta supaya gadis muslim dibenarkan untuk menyertai pertandingan berkenaan.
Anna atau pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, pada masa akan datang tidak mustahil untuk dia mencuba menyertainya, namun ia tidak memikirkannya buat masa ini.
Jelasnya, dia tetap bersyukur kerana masih ada ramai yang komen dan menghubunginya agar dia dapat menyertainya.
“Saya harap ia akan terlaksana dan pastinya ia jadi satu kebanggaan, tetapi realitinya saya memang tidak boleh join.
“Kepada organisasi Miss Universe Malaysia yang menonton video ini, berilah peluang kepada gadis muslim untuk sertainya,” luahnya. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Anna Jobling